PAS boikot pilihanraya kecil Batu Talam
Parti PAS dan Keadilan malam ini mengumumkan untuk memboikot pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Batu Talam yang ditetapkan 28 Januari ini.
Parti PAS dan Keadilan malam ini mengumumkan untuk memboikot pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Batu Talam yang ditetapkan 28 Januari ini.
Ketika mengumumkan demikian, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata keputusan itu diambil kerana mendakwa wujud kepincangan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kepincangan tersebut, tegasnya, termasuk daftar pemilih yang tidak tepat dan diragui, serta penyalahgunaan undi pos yang menjadikan perspektif pilihanraya tidak telus dan prejudis.
Kerusi Batu Talam kosong berikutan kematian Datuk Tengku Paris Tengku Razlan, 65, dari Barisan Nasional (BN) akibat barah pada 27 Disember lalu. SPR menetap penamaan calon dibuat pada 16 Januari ini.
Berucap ketika mengumumkan deklarasi pilihanraya Barisan Alternatif di Markas PAS Sega di Raub malam ini, Nasharuddin berkata sikap Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, yang didakwanya tidak konsisten dan memihak kepada Barisan Nasional, juga menjadi faktor PAS memboikot pilihanraya kecil Batu Talam.
Kira-kira 1,000 penyokong PAS dan Keadilan menghadiri majlis tersebut, termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat Parti Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketempangan demokrasi
"Jika PAS dan Keadilan mengambil keputusan menyertai pilihanraya kecil ini, maka ia akan menyaksikan penyelewengan proses demokrasi," katanya.
Tegasnya, ini berpandukan kepada pengalaman dalam beberapa pilihanraya, terutama dalam pilihanraya umum yang lalu, yang didakwanya "sarat dengan penyelewangan dan pembohongan" yang telah menjejaskan kredibiliti dan maruah kerajaan.
Rakyat, katanya, resah dan bosan dengan ketempangan demokrasi ini dan pihaknya yakin ianya akan berulang dalam pilihanraya kecil Batu Talam.
"Dan kecurigaan kami itu disahkan oleh (kenyataan) Pengerusi SPR," katanya. Kelmarin, Abdul Rashid menegaskan undang-undang dan peraturan pilihanraya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan.
Oleh itu, kata Nasharuddin, kepimpinan Barisan Alternatif (BA) dengan tegas berpendirian menolak dan memboikot pilihanraya kecil tersebut.
'Pengakuan Abdul Rashid'
Dalam pilihanraya umum yang lalu, Tengku Paris menewaskan Dr Mohamed Nilam Abdul Manaf dari Pas dengan majoriti 2,761 undi.
Pada mulanya, banyak pihak yang menjangka PAS akan mengumumkan calonnya bagi pilihanraya kecil Batu Talam di majlis tersebut.
Bagaimanapun pengumum Nasharuddin itu mengesahkan kenyataan Anwar dalam satu sidang akhbar pagi tadi mengenai kemungkinan BA memboikot pilihanraya kecil Batu Talam. DAP dan PKR sebelum ini mengumumkan tidak akan meletakkan calon.
Kelmarin, Pengerusi SPR itu juga mencadangkan agar sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi mengkaji semula undang-undang dan peraturan pilihanraya serta penstrukturan semula SPR.
Abdul Rashid juga dilaporkan sebagai berkata, selain memberi lebih kuasa kepada SPR, kajian semula itu juga bertujuan menjadikan proses pilihanraya lebih telus, adil dan saksama kepada semua parti politik dan rakyat negara ini.
Semalam, ketika mengulas kenyataan pengerusi SPR itu, Anwar Ibrahim berkata, pengakuan Abdul Rashid itu secara tidak langsung merupakan pengakuan kelemahan yang serius, salahlaku yang jelas dan pengingkaran nyata terhadap prinsip-prinsip demokrasi.
"Saya menyeru kesedaran Pengerusi SPR untuk tidak terus digunakan sebagai boneka oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN)," kata Anwar dalam satu kenyataan semalam.

