(4) Jawapan kepada kritikan Kassim terhadap setengah konsep dan teori asas falsafah materialisme dialektika.

Dalam resensinya, Kassim telah melontarkan beberapa kritikan terhadap kategori dan teori asas falsafah materialisme dialektika. Kritikan terbabit rasanya agak melulu dan berprasangka. Melulu mungkin kerana beliau masih belum mengetahui falsafah materialisme dialektika dari dekat, dan prasangkanya mungkin timbul daripada pendekatan idealisme agama. Berikut saya ingin mengemukakan pengertian saya untuk berbincang dengan Kassim.

(a) Tentang Jirim

Jirim telah ditakrifkan oleh Lenin sebagai "satu kategori falsafah yang menandakan realiti objektif, yang disampaikan kepada manusia oleh alat-alat derianya dan yang disalin, digambarkan dan dibayangkan oleh alat-alat deria kita, sedangkan wujudnya bebas dari alat-alat deria itu." (8) Pendek kata, kewujudan jirim adalah bebas dari kesedaran.

Justeru kerana Kassim berpegang kepada teori "jirim dan kesedaran adalah satu", maka tidaklah hairan takrif klasik Lenin tersebut tidak dapat diterima oleh Kassim dan dianggapnya sebagai tidak dapat menolong kita mengetahui apakah jirim itu sebenarnya.

Lebih anih lagi, petikan berikut telah digunakan oleh Kassim untuk menarik kesimpulan bahawa penemuan-penemuan ilmu fizik mutakhir telah mengesahkan kesimpulan logika bahawa jirim dan kesedaran adalah satu :

"Dari 1600 ke atas, unit-unit jirim yang asas sel-sel (corpuscles), butir-butir (particles), atom telah dianggap sebagai kasar, kaku dan pasif. Sejak 1926 gambaran ini telah bertukar sama sekali. Mass atau benda telah tidak dapat dibezakan dari tenaga (energy). Sebaliknya, tiap-tiap jenis benda yang asas sama ada jirim atau tenaga hendaklah dihubungkan dengan satu cara interaksi yang bersangkutan dan tenaga tarikan (field force). Photon, electrons, mesons, nucleous semua ini mempunyai dua aspek, sebahagian dikenali dengan sifat mass yang kaku atau tenaga menyendiri (intrinsic energy) dan sebahagiannya dengan corak hubungannya dengan persekelilinganBegitu juga, perdebatan-perdebatan lain yang memanjang mengenai kenyataan dunia jirim atau hubungan antara benda-benda jirim dengan alat-alat deria kita terpaksalah dikaji semula dari segi perubahan-perubahan di dalam konsep kita mengenai jirim." (9)
Saya membaca dan meneliti petikan atas berulang-ulang, tapi gagal juga mendapat kesimpulan yang sama dengan Kassim. Selain dari pernyataan "hubungan antara benda-benda jirim dengan alat-alat deria kita terpaksalah dikaji semula dari segi perubahan-perubahan di dalam konsep kita mengenai jirim", di manakah tersurat atau tersirat bahawa jirim dan kesedaran adalah satu?
Ilmu fizik terakhir

Jika petikan terbabit digunakan untuk menerangkan teori falsafah Marxis yang Kassim ragukan, iaitu pergerakan benda timbul dari pertentangan di dalam benda yang terbabit rasanya lebih sesuai, kerana bukankah penemuan-penemuan ilmu fizik mutakhir yang tersebut di atas itu telah membuktikan pertentangan antara benda (sama ada merupakan jirim atau tenaga) dan "satu cara interaksi yang bersangkutan dan tenaga tarikan", serta pertentangan antara "tenaga menyendiri" dengan "corak hubungannya dengan persekelilingan"?

Kata Kassim lagi, mengikut teori materialis, semua benda, termasuk jirim, ada di dalam keadaan berubah-ubah, yakni muncul, berkembang, reput lalu musnah. Ini mungkin salah faham Kassim, kerana bagi falsafah materialisme, benda dan jirim adalah dua kategori yang berlainan, benda dapat dimusnahkan dan juga dapat diciptakan, sementera jirim itu tidak, dan benda hanya merupakan bentuk kewujudan jirim.

Dipersoalkan Kassim lagi: "Dari manakah datangnya jirim yang awal? Jawapan mereka (kaum materialis) bahawa ia jadi sendiri tidak dapat diterima, kerana kenyataan ini tidak bersifat saintifik lagi. Di dalam sains, hukum sebab dan akibat berlaku terus-menerus, jirim yang jadi sendiri adalah bukan jirim lagi."

Beliau maka merumus: "Nyatalah dunia tidak jadi sendiri, ia dijadikan oleh Tuhan satu Zat Yang Hidup Sentiasa, yang Hidup Sendiri kepada Siapa semua bergantung."

Mengikut logik Kassim jirim yang jadi sendiri adalah bukan jirim lagi, maka Zat Yang Hidup Sendiri juga bukan Zat lagi! Lantaran itu, logik Kassim untuk menafi kewujudan jirim boleh juga digunakan untuk menafi kewujudan Tuhan sebagai satu Zat Yang Hidup Sendiri.

Kepada orang Muslim, Tuhan ialah satu Zat Yang Hidup Sentiasa, yang Hidup Sendiri kepada Siapa semua bergantung; kepada kaum materialis, jirim ialah sesuatu yang wujud sentiasa, yang jadi sendiri kepada mana semua bergantung. Perbezaannya hanya satu: Zat Tuhan itu merupakan Roh, bukan jirim.

(b) Tentang hubungan antara jirim dengan roh

Masalah yang terpokok sekali yang telah memecahkan filosuf-filosuf dunia menjadi khemah materialisme dan khemah idealisme ialah apakah itu hakikat, seperti kata Kassim , maknanya apakah itu hakikat jirim dan roh serta bagaimanakah hubungannya antara satu sama lain?

Menurut Engels: "Masalah yang terpokok bagi semua falsafah ialah masalah hubungan antara fikiran dan wujud roh dan alam Yang mana satu utama, roh atau alam?...Jawapan-jawapan yang diberi oleh para filosuf kepada soalan ini memecahkan mereka kepada dua khemah. Mereka yang menegaskan keutamaan roh daripada alam tergolong ke dalam khemah idealisme. Mereka yang menganggap alam utama tergolong ke dalam pelbagai mazhab materialisme." (10)
Sungguhpun kaum materialis mengakui jirim dan roh kedua-duanya wujud sebagai realiti objektif, tapi mereka sekali-kali tidak memisahkan roh daripada jirim seperti dakwaan Kassim. Kepada kaum mataerialis, roh adalah hasil jirim pada tahap tingginya, ia tidak dan mustahil wujud bebas dari tubuh manusia.

Dengan kata-kata Marx sendiri: "Bukannya kesedaran manusia yang menentukan wujud mereka, tetapi sebaliknya wujud sosial mereka yang menentukan kesedaran mereka." (11) Nyata sekali, Marx sendiri tidak menganggap roh (kesedaran) wujud bebas daripada jirim (wujud sosial manusia), tetapi sebaliknya ditentukannya.

Kassim menafikan teori materialisme yang mengatakan kewujudan sesuatu benda objektif itu bebas dari dan tidak bergantung kepada kesedaran, dengan apa yang dinamakan "teori nisbi Einstein".

Saya tidak tahu gerangan apakah "teori nisbi Einstein" itu dan bagaimana teori terkenal kajifizik itu boleh digunakan untuk menafikan teori materialisme terbabit. Nasib baik Kassim memberi contoh yang merupakan pengetahuan umum yang mungkin sama sekali tidak kena-mengena dengan "teori nisbi Einstein" yang menakutkan.

Contoh Kassim: Seorang A, yang berdiri di atas jalan berhadapan dengan sebuah motokar menyatakan bahawa ada sebuah motokar di hadapannya. Tetapi bagi seorang lain, B, yang melihat motokar itu dari tingkat tujuh sebuah rumah pangsa menyatakan ia melihat sebuah motokar di bawahnya. Demikianlah seterusnya kewujudan sesuatu benda objektif tidak bebas dari, dan bergantung kepada kesedaran.

Kenisbian

Kedudukan sesuatu benda adalah nisbi kepada kedudukan pelihat dan bertukar mengikut keadaan pelihatnya adalah benar. Namun menggunakan kenisbian ini untuk mencapai kesimpulan bahawa kewujudan sesuatu benda objektif itu tidak bebas dari, dan bergantung kepada kesedaran adalah tidak munasabah.

Dari contoh Kassim tadi, katakanlah ada seorang lagi, C, yang sedang tidur dalam biliknya, ia tentu tidak melihat motokar tersebut. Berdasarkan fakta ini, kita boleh mengatakan C tidak melihat motokar itu atau kewujudan motokar itu tidak disedari oleh C, tapi kita sekali-kali tidak boleh menarik kesimpulan bahawa motokar itu padahal tidak wujud seperti anggapan Kassim, kerana kewujudan motokar itu sebagai benda objektif memang bebas dari, dan tidak bergantung kepada kesedaran C, atau sesiapapun.

Jika kuman di seberang lautan tampak, kita mengakui kewujudannya; tapi gajah di pelupuk mata tiada tampak, maka dinafikan kewujudannya. Adakah teori seperti ini masuk akal?

Kassim nampaknya gagah sekali, ia sekaligus menghentam kaum idealis dengan tangan kirinya dan menghentam kaum materialis dengan tangan kanannya.

Dengan nada seakan-akan seorang filosuf materialis ia mengatakan bahawa alam objektif adalah wujud secara konkrit dan bukan semata-mata bayangan fikiran manusia, seperti yang didakwa oleh kaum idealis, dan sesiapa yang menafikan hakikat ini adalah salah. Tapi seterusnya ia mengatakan pula kewujudan alam konkrit itu tidak bebas dari kesedaran manusia, kerana manusia adalah sebahagian dari alam konkrit itu.

Tentang hujah kaum materialis bahawa oleh kerana kita dapat membuktikan kewujudan alam lama sebelum wujudnya manusia, maka kewujudan alam tidak bergantung kepada kesedaran manusia, Kassim mangaku ini satu kenyataan saintifik, tapi ia tidak membuktikan bahawa alam wujud bebas dari kesedaran. Kassim mengemukakan tiga alasan untuk menyokong pendapatnya:

1. Tanpa manusia (yakni kesedaran), mana akan timbul soal kewujudan alam?
2. Manusia adalah sebahagian dari alam objektif itu sendiri!
3. Telur dan ayam adalah satu, oleh itu alam dan manusia juga satu.

Rasanya fikiran Kassim agak kacau. Jika tanpa manusia maka tak timbul soal kewujudan alam, kenapa Kassim sendiri terpaksa mengakui kewujudan alam lama sebelum wujudnya manusia itu sebagai "satu kenyataan saintifik"?

Kenyataan saintifik

Jika kewujudan alam lama sebelum wujudnya manusia itu satu kenyataan saintifik, maka sebelum wujudnya manusia, ia tentu tidak merupakan sebahagian dari alam objektif, bukankah begitu?

Dari hubungan ayam menelur dan telur sebaliknya menetaskan ayam, tiada yang dahulu dan yang kemudian, oleh itu mereka adalah satu. Adakah hubungan alam dengan manusia juga demikian halnya? Sekurang-kurangnya Kassim sendiri telah mengakui bahawa alam wujud lama sebelum wujudnya manusia!

Kassim mengkritik apa yang dinamakan "kedua-dua penyelewengan di dalam falsafah moden dualisme idealisme dan dualisme materialiasme", kerana idealisme mengutamakan roh sementara materialisme mengutamakan jirim.

Menurut Kassim, konsep dua penyelewengan di dalam falsafah telah dinyatakan oleh Mao Tze Tung kononnya: "Idealisme dan materialisme kaku (mekanis), oportunisme, kesemuanya merupakan perpecahan antara subjektif dan objektif, antara pengetahuan dan amalan." (12)

Seolah-olah Mao juga bersetuju dengan Kassim! Sayang sekali hanya satu perkataan saja yang berlainan, tapi bezanya seperti langit sama bumi, kerana Kassim menghentam materialisme dialektika, sedangkan Mao menghentam materialisme kaku selain dari menghentam idealisme dan oportunisme, dan materialisme kaku sekali-kali bukan materialisme dialektika. Biar Mao sendiri yang menerangkan apa bezanya materialisme dialektika dengan materialisme makanis/kaku:

"Materialisme sebelum Marx (materialisme mekanis) tidak menekankan proses pemikiran dalam perkembangan pengetahuan, tapi fikiran hanya dianggap sebagai objek tindakan, sebagai cermin yang membayangkan alam Hanya materialisme dialektika menunjukkan pereanan aktif fikiran dengan tepat, dan pada masa yang sama, menunjukkan sekatan yang dikenakan oleh jirim terhadap fikiran. Ia menunjukkan bahawa fikiran timbul dari praktik sosial dan pada masa yang sama membentuk praktik secara aktif. Hanya teori dialektika 'kesatuan pengetahuan dengan tindakan' jenis ini yang dapat mengatasi idealisme secara habis-habisan." (13)

Kassim telah menarik kesimpulan bahawa materialisme dialektika adalah dualisme atau monisme yang gagal, kerana jirim dan kesedaran pada hakikatnya tetap dianggap dua dan jirim tetap dianggap lebih utama oleh kaum materialis.

Jirim dan roh (kesedaran) sebenarnya berbeza (iaitu dua) dan juga bersatu. Mereka berbeza kerana dari segi teori pengetahuan, jirim dan roh kedua-duanya wujud secara objektif dan nyata. Mereka bersatu kerana kewujudan roh (kesedaran) adalah tidak bebas dari, dan bergantung kepada jirim. Demikianlah hubungan dialektika antara jirim dengan roh.

Sebarang percubaan untuk memisahkan hubungan dialektika antara aspek perbezaan dengan aspek kesatuan antara jirim dan roh seperti tersebut di atas itu, dan menganggap materialisme dialektika sebagai dualisme kerana ia mengakui perbezaan jirim dan roh dari segi teori pengetahuan, atau menganggapnya sebagai monisme hanya kerana ia mengakui kesatuan antara jirim dengan roh sebab kewujudan roh tidak bebas dari dan bergantung kepada jirim, adalah berat sebelah dan merupakan pemutaran atau sekurang-kurangnya salah faham terhadap teori asas materialisme dialektika tentang hubungan jirim dengan roh.

Antara materialisme, idealisme dan Islam (Bhg 1)

Antara materialisme, idealisme dan Islam (Bhg akhir)