Beberapa bulan dahulu, terbaca dalam blog seorang kawan saya bahawa dalam buku Local and Global: Social Transformation in Southeast Asia, penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005 termuat sebuah esei K.S. Jomo yang bertajuk Islam, Socialism and Marxism: Clarifying Incompatibilities (ms. 71-80).

Selain membuat ulasan buku Prof Syed Hussein Alatas, penerbitan 1976 yang bertajuk Islam dan Sosialisme, resensi Kassim Ahmad terhadap buku saya Introduksi kepada Ilmu Falsafah1975 juga diulas bersama, sama ada atau tidak, Islam dan sosialisme serasi (compatible) dengan Marxisme.

Bukan tujuan saya di sini untuk membincang kandungan esei K.S.Jomo. Saya hanya ingin mendedahkan bahawa saya pernah menjawab resensi Kassim Ahmad selepas resensi itu disiarkan. Tapi jawapan itu tidak dihantar kepada Majalah Dewan Bahasa atas nasihat beberapa orang kawan saya masa itu.

Menurut mereka, jika jawapan saya itu disiarkan, besar kemungkinan ia akan menimbulkan suatu perdebatan falsafah, dan rasanya amatlah sukar bagi saya menghadapi serangan-serangan daripada mereka yang memusuhi falsafah Marxis/materialisme dialektika pada masa itu, terutamanya dari pihak kerajaan. Kami khuatir juga, jangan-jangan sampai buku itu diharamkan nanti.

Selepas membaca esei K.S. Jomo, keinginan untuk menyiarkan jawapan saya itu pun timbul kembali. Teks berikut adalah teks asal dengan sedikit pindaan dari segi bahasa dan cara penyampaian. Moga-moga ia dapat menyumbang kepada kesuburan diskusi dan perdebatan demi kepentingan akademi.

(1) Pendahuluan

Majalah Dewan Bahasa (jilid 19 bilangan 12, Disember, 1975) telah memuat sebuah resensi Sdr.Kassim Ahmad tentang buku yang saya terjemah dan sunting. (1) Resensi tersebut meliputi tiga aspek utama:

1. Kritikan terhadap setengah kategori asas falsafah materialisme dialektika dari pendekatan falsafah Islam;

2. Memuji-mujikan keagungan Tuhan dan keunggulan al-Quran dan falsafah Islam;

3. Tentang keperluan falsafah Islam mengasimilasi pengetahuan moden Barat dan tugas sekarang para filosuf Islam.

Dalam jawapan ini, saya akan membincangkan kategori-kategori asas falsafah materialisme dialektika yang telah dikritik Kassim, agar kategori-kategori terbabit dapat dimengertikan dengan lebih tepat. Tanpa pengertian yang tepat, kritikan terbabit mungkin tidak objektif dan adil.

Oleh kerana Kassim mengkritik falsafah materialisme dialektika dari pendekatan falsafah Islam, maka tidak terelakkan Islam akan disentuh dalam huraian saya nanti. Saya akan melakukannya secara akademik tanpa sebarang prasangka.

Tentang konsep-konsep Kewujudan dan Keesaan Tuhan, alam ghaib, akhirat, syurga dan neraka; keunggulan al-Quran sebagai sebuah buku ibu segala ilmu dan kesesuaian falsafah moden Islam untuk memainkan peranan petunjuk ke jalan yang lurus di antara dua penyelewengan besar (2); saya tidak akan membincangnya kerana masalah-masalah terbabit terlalu bercorak keagamaan dan juga di luar kemampuan saya.

Bagaimanapun, saya amat bersetuju dengan sikap liberal yang diutarakan Kassim bahawa salah satu tugas yang harus dilakukan oleh para filosuf Islam, pada pandangan beliau, ialah mengasimilasi tamadun intelek Barat ajaran-ajaran falsafah, sains masyarakat, sains fizik dan teknologi mengambil yang benar dan baik, membuang yang salah dan buruk, berdasarkan prinsip-prinsip Islam.

Sikap negatif memusuhi segala-gala yang dibawa oleh Barat oleh kerana hasil orang-orang kafir, konon, atau sikap tidak kritikal mengambil segala-galanya yang datang dari Barat kerana moden dan saintifik, konon, adalah sikap yang tidak saintifik, salah dan tidak diajar oleh Islam. Islam mengutamakan ilmu pengetahuan, tidak kira dari mana datangnya.

Justeru digalakkan oleh sikap liberal Islam tersebut maka jawapan ini ditulis. Tunjuk ajar dan pembetulan daripada pihak Kassim dan para pembaca amatlah dialu-alukan.

(2) Ilmu falsafah masih asing lagi bagi kebanyakan rakyat kita

Sebermulanya Kassim telah mengatakan beliau tidak setuju dengan anggapan saya bahawa ilmu falsafah masih asing lagi bagi kebanyakan rakyat kita. Beliau mengemukakan dua alasan:

1.Orang Melayu telah berkenal dengan idea-idea falsafah sejak kira-kira 400 tahun dulu melalui buku-buku Arab yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan juga melalui falsafah di dalam al-Quran sendiri;

2. Oleh kerana di dalam masyarakat Melayu agama dan falsafah amat erat hubungannya maka konsep-konsep falsafah telah diajarkan di dalam al-Quran dengan cara yang mudah difahami.

Tidak dapat dinafikan bahawa Islam (begitu juga halnya dengan agama Kristian dan agama Buddha) mempunyai falsafah keagamaannya yang tersendiri, dan melalui amalan Islam dan pengajian al-Quran, Muslim akan mengetahui beberapa idea atau konsep falsafah Islam.

Akan tetapi, tanpa mempelajari falsafah Islam secara sistematik sebagai suatu cabang pengetahuan, maka orang Islam pada umumnya juga tidak boleh dikatakan sudah mengetahui falsafah Islam dalam makna yang lebih tepat.

Justeru, dalam buku Introduksi Kepada Ilmu falsafah, saya telah mengatakan: "Dalam kehidupan kita sehari-hari (tentu termasuk kehidupan agama), terdapat juga fikiran-fikiran yang bercorak falsafah, hanya fikiran-fikiran itu mungkin kusut-kasau, samar-samar, tidak sistematik dan lengkap. Lebih-lebih lagik fikiran-fikiran itu selalu pula bertentangan dengan fikiran falsafah yang teratur, tegas, sistematik dan lengkap."

Padahal di institusi pengajian tinggi negara kita sekalipun, pelajar kita masih tidak berpeluang untuk mempelajari falsafah sebagai suatu mata pelajaran. Dari segi ini, jika ilmu falsafah dikatakan masih asing lagi bagi kebanyakan rakyat kita juga hakikat yang tidak dapat dinafikan, dan usaha untuk menyebarkan ilmu terbabit kepada orang ramai tentu merupakan tugas para filosuf (jika ada) kita.

(3) Pertumbuhan falsafah materialisme dialektika

Tentang pertumbuhan falsafah materialisme dialektika atau falsafah Marxis, Kassim mendakwa Marx sebenarnya tidak bertujuan untuk mewujudkan satu falsafah. Beliau malah memetik kata-kata Marx, Engels dan Lenin untuk "membuktikan" kebenaran dakwaannya. Sekarang biar kita meneliti petikan terbabit dengan saksama, dan menimbangkan sama ada interpretasi Kassim itu benar atau tidak.

(a) Engels dipetik oleh Kassim sebagai berkata: "materialisme moden pada hakikatnya bersifat dialektika, dan tidak lagi memerlukan falsafah apapun di atas segala ilmu lainApa yang masih kekal dari semua falsafah sebelumnya ialah ilmu fikiran dan undang-undangnya logika formal dan dialektika. Segala yang lain bergabung di dalam sains positif alam dan sejarah. "(3)

Petikan tersebut padahal hanya menyatakan dua fakta:

1. Dengan adanya materialisme dialektika (materialisme moden yang bersifat dialektika), maka tidaklah memerlukan lagi falsafah apapun di atas segala ilmu lain;
2. Apa yang masih kekal dari semua falsafah sebelum materialisme dialektika ialah ilmu fikiran dan undang-undangnya logika formal dan dialektika, segala yang lain bergabung di dalam sains positif alam dan sejarah.

Pernyataan "tidak lagi memerlukan falsafah apapun di atas segala sains lain" tidak wajar dimengertikan bahawa Engels menafikan keperluan segala falsafah, hanya peranannya telah diambilalih oleh materialisme dialektika, iaitu falsafah Marxis.

Engels bukan saja tidak menafikan falsafah Marxis seperti dakwaan Kassim, beliau malah amat menyanjung tinggi sumbangan besar Marx terhadapnya, dalam bahagian 4, Ludwig Feuerbach Hand the End of Classical German Philosophy, kata Engels:

"Bila mazhab falsafah Hegel merosot maka berkembanglah satu sistem falsafah yang lain yang berkaitan dengan Karl Marx secara tak terpisahkan. Ini adalah satu-satunya sistem falsafah baru yang benar-benar berhasil. Marx dan Feuerbach kedua-duanya meninggalkan sistem Hegel dan kembali ke materialisme. Marx membebaskan diri dari pandangan prasangka idealis Hegelian. Ia bertekad untuk memahami dunia nyata sebagaimana yang didedahkan oleh sains dan sejarah. Ia dengan tak kenal belas-kasihan mengorbankan prinsip idealis yang tidak secucuk dengan fakta nyata. Ia tak menghiraukan kaitan fantastik tradisional antara dunia 'nyata' dengan dunia 'ide'. Pendekatan ini adalah inti materialisme Marx. Marx merupakan pemikir pertama yang melayani materialisme dengan serius, dan prinsip asas materialisme dipergunakannya terus-menerus secara konsisten dalam pengajiannya terhadap pelbagai cabang ilmu pengetahuan."(4)

Rangka sejarah

Kassim mendakwa "Marx sebenarnya tidak bertujuan untuk mewujudkan satu falsafah", tapi Engels, kawan seperjuangan Marx yang karib sekali, sebaliknya menganggap falsafah materialisme dialektika "berkatian dengan Karl Marx secara tak terpisahkan". Siapakah yang harus kita percayai, Kassim atau Engels?

(b) Kassim juga memetik kata-kata Lenin dan Marx sendiri untuk maksud yang sama. Menurut petikan yang dikemukakannya, Lenin telah berkata: "Tidak ada Marxis yang menganggap teori Marx sebagai satu rangka sejarah yang umum dan wajib, atau sebagai suatu yang lebih daripada satu huraian mengenai satu bentuk masyarakat dan ekonomi yang khusus." (5)

Dan Marx sendiri telah menyifatkannya sebagai: "Percubaan untuk membekukan rangka sejarah saja mengenai asal-usul kapitalisme di Eropah Barat menjadi satu teori falsafah sejarah mengenai arah umum yang dipaksakan oleh takdir ke atas semua manusia." (6)

Kata-kata Lenin dan Marx terbabit padahal hanya menyentuh "teori falsafah sejarah", bukan "materialisme dialektika" yang dipertikaikan sekarang.

Kassim di satu pihak cuba memetik kata-kata Lenin untuk membuktikan pertumbuhan falsafah Marxis sebenarnya bertentangan dengan hajat Marx sendiri, konon; tapi di lain pihak, ia terpaksa mengakui Lenin sebagai salah seorang pembangun falsafah Marxis (7), tidakkah agak pelik seorang pembangun falsafah Marxis dikatakan cuba menafikan makna wujudnya falsafah Marxis?

Antara materialisme idealisme dan Islam (Bhg 11)

Antara materialisme idealisme dan Islam (Bhg 111)