Belum ada premis Rufaqa diserbu
Tidak ada mana-mana premis perniagaan milik syarikat Rufaqa Corporation Sdn Bhd (Rufaqa) yang telah diserbu oleh pihak berkuasa agama seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.
Tidak ada mana-mana premis perniagaan milik syarikat Rufaqa Corporation Sdn Bhd (Rufaqa) yang telah diserbu oleh pihak berkuasa agama seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.
Ekoran itu, kata Timbalan Pengarah Bahagian Penerbitan Rufaqa, Laila Ahmad, kira-kira 500 premis milik syarikat tersebut beroperasi seperti biasa di seluruh negara.
Pihak pengurusan Rufaqa Corporation juga, tambahnya, tidak bercadang menutup mana-mana premis perniagaannya.
"Sebaliknya, kita akan mengukuhkan perniagaan sedia ada, selain membesar dan membuka lebih banyak premis baru, terutama restoran dan butik pakaian pada tahun ini," katanya lagi.
Laila juga mengesahkan bahawa kebanyakan premis Rufaqa masih menggantung
gambar Ashaari Muhammad, bekas pemimpin kumpulan Al-Arqam yang diharamkan kerajaan pada 1994.
Aahaari kini menjadi Pengerusi Eksekutif Rufaqa dan menguasai kira-kira 75 peratus pegangan saham dalam syarikat perniagaan tersebut. Selain di Malaysia, Rufaqa juga mempunyai rangkaian perniagaan di Amerika Syarikat, Eropah, Australia dan negara-negara Asia Tenggara.
Laila merupakan menantu Ashaari yang kini dikatakan sedang sakit dan berehat di kediamannya Nilai Spring, Negeri Sembilan.
Tiada hitam putih
Baru-baru ini, Exco Agama Kerajaan Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan melancarkan sebuan untuk menutup premis perniagaan Rufaqa di Selangor kerana cuba menghidupkan semula Al-Arqam dan mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah.
Negeri-negeri lain juga mengambil tindakan mengharamkan Rufaqa dan mengarahkan supaya premis perniagaan syarikat itu ditutup.
Bagaimanapun, Rufaqa telah mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman beberapa individu, termasuk Abdul Rahman kerana memburuk-burukkan kumpulan perniagaan tersebut.
Laila berkata, premis perniagaan Rufaqa tidak melanggar sebarang peraturan dan tidak mengancam keselamatan awam.
"Pihak keselamatan, terutama pasukan polis amat mengetahui semua aktiviti Rufaqa dan peneraju utama syarikat perniagaan tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sehingga ini, katanya, ibu pejabat Rufaqa di Bandar Country Homes di Rawang tidak menerima sebarang arahan secara rasmi dari pihak berkuasa supaya menutup premis perniagaan mereka.
Katanya, ini bermakna, tanpa hitam putih, sebarang arahan supaya menurut operasi premis pernigaan milik Rufaqa sebagai tidak laku.
"Apa motif mereka yang bersungguh-sungguh mahu menutup Rufaqa sedangkan pihak keselamatan sangat mengetahui operasi syarikat perniagaan tersebut," tanya Laila lagi.

