eksklusif PAS yakin mampu merampas semula Terengganu daripada tangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum yang akan datang, kata pemimpin kanan parti pembangkang itu, Datuk Mustafa Ali.

Parti itu kalah teruk dalam pilihanraya umum 2004. Selain tumbang di Terengganu, parti itu hanya mampu mempertahankan Kelantan hanya dengan kelebihan satu kerusi.

Mustafa yang juga pengarah pilihanraya PAS berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada "kekecewaan rakyat terhadap kerajaan BN" ekoran timbulnya beberapa isu termasuk dakwaan wang tidak disalurkan untuk manfaat rakyat.

"Rakyat boleh melihat yang mereka tidak mendapat faedah daripada wang yang dibelanjakan," katanya kepada malaysiakini dalam wawancara melalui telefon, merujuk kepada projek-projek seperti di Pulau Duyung tempat berlangsungnya pertandingan Piala Monson.

Mustafa, 63, yang juga bekas Ahli Parlimen Dungun berkata, isu-isu kemiskinan, perumahan dan rasuah dalam kerajaan Terengganu masih gagal ditangani.

Beliau mendakwa, parti itu sedang bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang di mana beberapa pihak meramalkan ia mungkin diadakan hujung tahun ini walaupun pemimpin-pemimpin kanan parti PAS jarang menonjol di khalayak ramai akhir-akhir ini.

Mustafa berkata, para pemimpin PAS sedang mengatur pelbagai aktiviti, tetapi ianya tidak mendapat liputan dalam akhbar-akhbar yang kuasai oleh kerajaan. Beliau juga berkata, PAS sedang menumpukan kepada usaha mengembleng dan memperkukuhkan sumber-sumber dalaman parti itu.

Bagaimanapun, Mustafa mengakui bahawa Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (foto) tidak begitu menonjol kerana ada sebab-sebabnya.

"Beliau memberi peluang kepada orang-orang kuatnya setiausaha agung, timbalan presiden dan naib presiden," kata Mustafa, sambil menegaskan bahawa Hadi tidak melepaskan jawatannya itu.

Strategi yang sama

Mustafa membayangkan tidak akan berlaku perubahan drastik dalam strategi pilihanraya parti itu dari segi kerusi yang akan ditandingi dan barisan calon pilihanrayanya yang terdiri daripada campuran pemimpin muda dan ulama.

Beliau berkat, pihak pembangkang yakin akan mampu mengurangkan majoriti dua pertiga BN.

PAS juga belum mengadakan rundingan mengenai pembahagian kerusi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) rakannya dalam Barisan Alternatif (BA).

"Saya fikir ianya masih jauh. Pembahagian akan dibuat berdasarkan kepada status quo. Jika pindaan diperlukan, kita boleh berbuat demikian," katanya.

Mustafa bersetuju bahawa parti itu telah dipencilkan daripada rundingan antara parti-parti pembangkang, selepas pemimpin tertinggi DAP dan PKR dikatakan bertemu baru-baru ini untuk membincangkan persediaan menghadapi pilihanraya lebih awal.

"Ia adalah persetujuan kami dengan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim, Penasihat PKR) bahawa jika (Ia membabitkan) DAP, beliau akan mengendalikannya kerana DAP tidak boleh bertentang mata dengan PAS," kata Mustafa.

Mengenai satu lagi soalan sama ada PAS merupakan liabiliti kepada PKR, beliau berkata:.

"Ia bergantung kepada PKR, kita tidak boleh memaksa mereka, kita tidak kisah...kami percaya BA ada. Tentulah jika PKR rapat dengan DAP, ia sepatutnya baik kerana DAP agak rengang dengan PKR sebelum ini."

Sebelum ini, Mustafa telah menyalahkan hubungan kerja yang longgar dengan PKR dalam BA sebagai salah satu sebab prestasi buruk gabungan tersebut dalam pilihanraya umum 2004, dengan berkata, barisan pembangkang "bukan pilihan sebenar" bagi pengundi.

Mengenai rancangan peribadinya, Mustafa berkata, beliau akan hanya bertanding "jika ia benar-benar perlu."

"Di segi aktiviti, saya masih lagi 100 peratus aktif dalam politik tetapi dari segi bertanding, ianya berbeza ia adalah perkara sama ada saya patut menjadi wakil rakyat atau tidak," tambahnya. Berita asal

Esok: Mengapa kerajaan Islam satu 'isu kecil'.