Pengerusi Bernama terima anugerah
Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Ras Adiba Radzi menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (Pemerkasaan Wanita) di Anugerah Wanita Cemerlang 2021/2022 (WOEA 2021/22) di Kuala Lumpur malam tadi.
Selain daripada Ras Adiba lebih 70 usahawan dan personaliti wanita dari seluruh negara menerima anugerah pada WOEA 2021/22 anjuran FM Media Communications dengan kerjasama majalah The CEO Malaysia.
Tetamu terdiri daripada wakil-wakil syarikat dan individu pelbagai industri dan selebriti hadir untuk meraikan acara itu.
Sektoir perniagaan serta individu yang menerima anugerah itu dinilai berdasarkan tiga kriteria utama iaitu prestasi tahunan syarikat, kepimpinan dan pencapaian cemerlang dalam bidang masing-masing.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mastura Mohd Yazid yang merasmikan majlis dan menyampaikan anugerah berkata sumbangan wanita boleh mengubah sebuah komuniti biarpun berhadapan halangan di semua peringkat.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia dengan tema kesamaan jantina hari ini untuk esok yang lestari,” katanya pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan FM Media Communication Ema Malina Abu Bakar Tajudin dalam ucapan alu-aluannya berkata bersempena Hari Wanita yang disambut pada Mac setiap tahun, majalah The CEO Malaysia membuat keputusan untuk menganjurkan majlis anugerah itu.
“Menerusi program berprestij ini, kami boleh memanfaatkan kepakaran kami untuk menjana dan meningkatkan penjenamaan dan potensi perniagaan mereka. Tambahan pula kami mahu menyediakan sebuah platform untuk membawa bersama usahawan wanita berjaya,” katanya.
Sementara itu, Ras Adiba berkata anugerah yang diterimanya merupakan penghargaan kepada keazaman wanita dan usaha yang dilakukan dalam kerjaya mereka.
"Malam ini amat istimewa, saya rasa begitu kerdil di sebelah mereka yang melakukan dengan begitu baik dalam bidang mereka dan sambutan ini adalah bagi menghargai wanita. Saya terharu kerana usaha saya dihargai pihak mereka.
"Wanita di luar sana seharusnya jangan putus asa tetapi mereka harus percaya pada diri sendiri kerana dengan usaha sendiri kita dapat mencapai matlamat yang dikehendaki," katanya kepada Bernama.
Ras Adiba juga mengucapkan terima kasih kerana dipilih sebagai salah seorang penerima anugerah dan berterima kasih kepada mereka yang memberi sokongan kepada kerjaya beliau selama ini.
- Bernama

