Salah satu daripada kunci kejayaan restoran mamak ialah kepelbagaian menunya. Ramai pengunjung restoran mamak mengakui masakan mamak 'lain dari yang lain'.

Salah satu keistimewaan restoran mamak ialah supnya. Sup adalah kemestian dalam sajian restoran mamak. Pelbagai sup sup ekor, sup tulang, sup campur atau sup lidah dan sup torpedo sentiasa menjadi tarikan walaupun kadangkala harganya agak mahal.

Dalam ribuan restoran atau gerai mamak di ibunegara "sup Nizar' di berhampiran pasaraya Keramat di kawasan Chow Kit adalah antara yang paling istimewa hingga pelanggannya datang berulangkali.

Pakar sup, Nizar Mydin (kiri) berkata, sup ekor dan sup torpedonya mempunyai keistimewaan dan khasiat tersendiri hingga menarik pelanggan dari dalam dan luar negara.

"Sup saya sangat digemari pelanggan lelaki, mereka megatakan sup saya mampu menguatkan tenaga batin,"ceritanya.

Nizar juga memberitahu rahsia keenakan sup banyak bergantung kepada ramuan yang digunakan.

Katanya, hanya bahan-bahan yang terpilih dan bermutu tinggi digunakan untuk membuat sup supaya keenakannya akan memikat pelanggan untuk datang lagi ke gerainya.

"Rempah ratus tradisional adalah kunci kepada keenakan sup dan perkara ini memang diakui oleh pelanggan yang pernah menikmati sup di gerai ini.

Ken Worden minat sup

"Pelanggan yang datang menjamu selera di sini bukan hanya pekerja bawahan malahan juga golongan elit dan mereka yang mempunyai kedudukan dalam politik," ujarnya.

Beliau juga mendakwa, pelanggannya bukan setakat daripada penduduk ibu negara malah sampai ke luar negara termasuk dari Chad, di benua Afrika.

Katanya, rakyat Brunei dan Singapura juga kerap datang ke restorannya untuk menikmati keenakan sup yang disajinya.

"Bekas jurulatih bolasepak negara, Ken Worden pernah meminta saya membuat sup untuk dihantar ke tempat tinggalnya di Kelana Jaya, Selangor beberapa tahun lalu," ceritanya lagi.

Nizar berkata, apa yang diusahakan sekarang adalah warisan daripada kaum keluarganya kira-kira 30 tahun lalu.

Katanya walaupun sudah brtahun-tahun resepi ini diperturunkan rasanya tetap sama seperti mula-mula keluraganya berniaga di ibu negara.

Bagaimanapun katanya, harga semangkuk sup sangat kompetitif sekarang kerana harga tulang dan daging semakin mahal.

"Saya masih ingat lagi dulu harga semangkuk sup hanya 70 sen tetapi kini telah meningkat kepada RM4," ujarnya.

Bhgn 1: Restoran mamak jana RM4 bilion setahun

Bhgn 2: Mamak berani berniaga di mana sahaja...