Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof mengucapkan syabas kepada Anggota Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali yang bertindak keluar daripada PAS.

Menurutnya, keluar parti bukannya keluar agama dan PAS bukannya soal akidah sebaliknya hanyalah parti politik.

"Keluar parti bukan keluar agama, PAS bukan soal akidah ia hanyalah parti politik. Syabas mantan setiausaha Majlis Syura Ulama membuktikan fitnah kepada Amanab tak betul.

"Amanah terbuka kepada sesiapa sahaja, Islam rahmatan lil alamin," katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Sebagai rekod Mujahid yang juga anggota parlimen Parit Buntar merupakan bekas pemimpin PAS yang keluar daripada parti itu susulan pergolakan dalaman pada 2015.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Khairuddin yang juga bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi memohon untuk keluar daripada PAS.

Bagaimanapun dia tidak menyatakan alasan tindakan itu diambil, namun sejak kebelakangan ini dia sering mengkritik pendekatan PAS termasuk ketika berkempen sempena pilihan raya negeri PRN (Johor).

Sebelum ini Khairuddin juga dikaitankan dengan satu rakaman audio yang tular di media sosial yang dikatakan mengkritik kepimpinan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.