PRN JOHOR | Seorang lagi calon yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Johor disahkan positif Covid-19, sekali gus menjadi calon ketiga dijangkiti wabak berkenaan.

Ter Hwa Kong yang bertanding di kerusi DUN Pengaram, berkata dia mengetahui perkara itu selepas menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase (RT-PCR) pagi ini.

Ter berkata dia telah membatalkan semua program yang dijadualkan semalam apabila mengetahui dia mempunyai kontak rapat dengan individu positif wabak berkenaan.

Sehubungan dengan itu Ter akan menjalani kurantin kendiri, manakala pasukan kempennya juga akan menjalani kuarantin sehingga keputusan ujian diketahui.

Dalam kenyataannya, Ter juga meminta orang ramai yang mempunyai kontak rapat dengannya menjalani ujian Covid-19 dan memohon maaf atas perkara itu.

Tempoh kuarantin yang ditetapkan KKM adalah selama tujuh hari bagi individu yang telah mendapat vaksin penuh.

Ini bermaksud Ter hanya boleh berkempen secara fizikal pada malam hari mengundi.

Pada PRN berkenaan, Ter berhadapan dengan pencabarnya, Sia Wee Yet dari Perikatan Nasional (PN) dan Gan Peck Cheng dari DAP.

Gan ialah penyandang kerusi DUN berkenaan yang memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,205 undi pada pilihan raya umum lalu.

Pada 27 Feb lalu , calon PKR Bukit Batu Chiong Sen Sern juga mengesahkan dia telah dijangkiti virus Sars-CoV-2.

Sehari sebelum itu - pada hari penamaan calon - calon PKR bagi kerusi Gambir, Naim Jusri disahkan positif Covid-19 sebaik tiba di pusat penamaan calon.

Bagaimanapun Naim dibenarkan menghantar borang pencalonan dan menjadi calon menerusi pencadangnya.

Sebelum ini Parti Pejuang mengambil tindakan lebih drastik apabila menggantikan calonnya bagi kerusi DUN Endau, Zaini Tahar dengan Mohd Noorhisyam selepas Zaini didapati positif Covid-19 pada malam hari penamaan calon.

Bagi calon yang telah dicalonkan secara rasmi, mereka tidak boleh diganti dengan individu lain memandangkan nama pada kertas undi tidak boleh diubah.