Tapak pembinaan menara berpusing setinggi 110 meter sebagai tarikan pelancong di bandar Melaka mungkin dipindahkan berikutan penemuan sejarah berupa runtuhan tembok Kota Melaka yang dibina Portugis pada kurun ke-16.

Runtuhan yang ditemui di tapak pembinaan menara bernilai RM21 juta itu dipercayai dibina oleh Portugis selepas mereka menawan Melaka pada 1511, menurut laporan akhbar New Straits Times.

Ketika melawat kawasan tersebut, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tapak tersebut akan di pelihara sebagai tempat tarikan pelancong.

"Penemuan bersejarah ini merupakan satu faedah yang amat besar kepada negeri Melaka dan negara," katanya.

Projek Menara Tinjau itu dibina oleh Kumpulan Melaka Berhad (KMB), anak syarikat milik penuh kerajaan negeri itu.

Pembinaannya sebelum ini dibantah oleh beberapa pihak yang khuatir ia akan menjejaskan nilai sejarah di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, pembinaannya telah diteruskan selepas pelbagai aspek dipertimbang, termasuk nilai warisan sejarah di situ.

Rais berkata, beliau akan membentangkan laporan kepada kabinet untuk mengesyorkan supaya kawasan bersejarah itu dikekalkan dan dipelihara.

- AFP