Pemuda Umno beri amaran keras kepada Mukhriz
Pergerakan Pemuda Umno memberi amaran keras kepada anggota exconya, Datuk Mukhriz Mahathir supaya jangan lagi mengkritik Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada masa depan.
Pergerakan Pemuda Umno memberi amaran keras kepada anggota exconya, Datuk Mukhriz Mahathir supaya jangan lagi mengkritik Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada masa depan.
Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, Mukhriz dan semua anggota exco Pemuda juga dinasihatkan supaya jangan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan pendirian yang telah dipersetujui oleh pergerakan tersebut.
"Kita telah memberi ruang kepada Mukhriz (foto) untuk membuat penjelasan berhubung komennya terhadap ucapan Presiden pada perhimpunan agung Umno itu.
"Mukhriz telah memberikan penjelasannya dan mesyuarat hari ini memberi amaran keras kepadanya supaya jangan mengulangi perbuatannya itu. Dengan itu, isu ini dianggap selesai," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco pergerakan itu di bangunan Umno di PWTC, Kuala Lumpur petang ini.
Hishamuddin juga memberitahu, beliau akan mengaturkan pertemuan antara Mukhriz dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Isu selesai
Anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu menimbulkan kontroversi semasa perhimpunan agung Umno baru-baru ini, apabila mengulas ucapan dasar Perdana Menteri itu sebagai tidak mengandungi "apa-apa yang baru".
Ulasan beliau itu telah membangkitkan kemarahan anggota exco dan Ketua Pemuda Umno negeri hingga ada yang mahu Mukhriz dikenakan tindakan disiplin.
Pemimpin Umno lain termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz dan ahli-ahli Majlis Tertinggi seperti Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Datuk Zahid Hamidi turut membidas Mukhriz yang dianggap tidak menghormati Presiden.
Ekoran itu, Mukhriz telah melahirkan kekesalannya berhubung komennya terhadap ucapan Presiden Umno itu, dengan menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak.
Mukhriz yang turut hadir dalam sidang akhbar tersebut pula berkata;"Saya telah memberi penjelasan kepada mesyuarat exco hari ini."
Ditanya mengapa beliau mengambil masa terlalu lama untuk meminta maaf kepada Presiden, Mukhriz menjelaskan, beliau perlu membuat penjelasan kepada exco terlebih dahulu.

