Ada perkara yang lebih utama berhubung keselamatan di jalan raya walaupun tidak dinafikan pemandu warga emas juga ada yang melakukan kesalahan, kata Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Che Hassan Che Johan.

Che Hassan membangkitkan isu pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan serta kematian melibatkan penunggang motosikal yang masih tinggi.

"Saya tidak nafikan ada di antara warga emas atau ‘old timer’(otai) yang melakukan kesalahan lalu lintas sebelum ini, tetapi kita boleh kira dengan jari sahaja. Lagipun kita perlu lihat secara menyeluruh kegunaan kenderaan untuk warga emas yang bekerja walaupun usia sudah lebih 70 tahun.

"Cuba kita perhatikan kematian kerana kemalangan jalan raya setakat April tahun lalu, berdasarkan statistik, kadar kematian membabitkan penunggang motosikal masih tinggi iaitu 3,118 daripada 4,634 kematian di jalan raya," katanya dalam kenyataan.

Dia juga menyebut bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai individu yang sudah lanjut usia tetapi masih sihat dan memandu dengan baik, sesuatu yang menurutnya boleh dicontohi warga emas yang lain.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Azisman Alias mengesyorkan kepada kerajaan agar mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas.

Azisman berkata antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan adalah kerana warga emas memandu kenderaan dalam keadaan mereka tidak sihat sepenuhnya.

Bagaimanapun Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata langkah itu seharusnya menjadi pilihan terakhir setelah tahap kecergasan seseorang untuk memandu disahkan.

Dia berkata lagi, perkara itu perlu dilihat secara lebih menyeluruh - termasuk keperluan pergerakan dan faktor sosioekonomi - memandangkan ramai pemandu warga emas mempamerkan kemahiran memandu lebih baik berbanding pemandu lebih muda.