Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Petaling Jaya Utara turut mengecam dan menyifatkan pihak yang mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad supaya meletakkan jawatan sebagai penasihat Petronas, Proton dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) sebagai keterlaluan.

"Ia juga tidak mengambilkira sumbangan beliau kepada negara selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri," kata ketuanya Mohd Azli Saad ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, Pemuda Umno bahagiannya tidak setuju dengan cara beberapa pemimpin Umno menangani isu Dr Mahathir.

Menurutnya, ini kerana negara tidak pernah membuat kajian terhadap pemikiran bekas Presiden Umno itu sedangkan beliau mempunyai pandangan jauh ke depan berbanding pemimpin lain.

Beliau berkata, Dr Mahathir mengkritik kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berdasarkan pengalamannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

"Berdasarkan pengalaman luas itu, Tun Dr Mahathir mengkritik kerajaan dengan harapan dapat membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri," katanya lagi.

Mohd Azli dijadual mengadakan sidang media khas mengenai isu tersebut di Suite 115, Kelana Square, 17 Jalan SS7/26 Kelana Jaya, pada jam 2.30 petang esok.

MT mesyuarat esok

Kritikan berterusan Dr Mahathir menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pemimpin Umno di seluruh negara.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khalid telah meminta bekas Perdana Menteri meletakkan jawatan sebagai penasihat Petronas, Proton dan dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Langkawi).

Ketua Pemuda Umno Terengganu Mohd Sabri Alwi pula menggesa keahlian Dr Mahathir digantung kerana kritikan kerasnya terhadap Abdullah.

Sementara itu, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) esok dijangka membincangkan isu kritikan bekas Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, mungkin ada ahli MT yang mahu membangkitkan isu berkenaan esok.

"Tidak ada isu khusus yang dibincangkan dalam mesyuarat MT esok. Ia merupakan mesyuarat bulanan biasa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan sendiri oleh Abdullah yang juga Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) jam 3 petang esok.