Gabungan Sepaktakraw Kelantan (GASTAK) memohon kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk memberi kelulusan segera agar Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) 'baru' dapat melaksanakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Presiden GASTAK, Zuraidin Abdullah berkata sebagai satu daripada ahli G11 iaitu persatuan negeri yang keluar daripada PSM sebelum ini, pihaknya komited mahu bersama-sama menyelesaikan isu berbangkit demi kepentingan sepak takraw negara.

"Kami persatuan sepak takraw negeri-negeri meletakkan harapan tinggi agar proses selanjutnya iaitu EGM dapat diadakan dengan seberapa segera dan dikendalikan secara teratur mengikut perkara serta terma yang telah dipersetujui.

"Kami menyambut baik kenyataan Pesuruhjaya Sukan Ibrahim Mohd Yusoff berhubung pelan dan strategi bagi memulihkan PSM. Pihak G11 menyifatkan persefahaman semua pihak dan persetujuan dicapai dalam siri perbincangan bersama PSM sebagai komitmen untuk merintis usaha mengembalikan kegemilangan sukan ini," katanya dalam kenyataan.

Semalam, media melaporkan PJS menegaskan penubuhan persatuan sepak takraw kebangsaan baharu dikenali sebagai Gabungan Sepaktakraw Malaysia (GSM) tidak lagi berbangkit apabila semua pihak terbabit bersetuju dengan langkah pemulihan PSM.

Mengulas lanjut, Zuraidin berkata G11 berterima kasih kepada pihak kerajaan terutama tindakan susulan yang telah dilakukan di bawah pengendalian PJS sehingga perancangan itu berjaya menghasilkan sikap tolak ansur, rundingan dan pengorbanan semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata asas kepada persefahaman itu adalah tekad semua pihak untuk melakukan pembaharuan demi kepentingan dan kelangsungan pembangunan sukan sepak takraw secara keseluruhan.

"Hasilnya beberapa perkembangan positif telah dicapai terutama terhadap semakan dan pindaan perlembagaan induk PSM yang akan dibentangkan dan diperakukan dalam EGM kelak.

"Kami juga berpuas hati dengan pengendalian taklimat oleh PJS mengenai draf akhir pindaan perlembagaan pada satu sesi khas yang diadakan pada 11 Ogos lepas," katanya.

-Bernama