Misi dan visi Jeffrey Kitingan dalam PKR
Sistem Barisan Nasional (BN) telah mewujudkan dua jenis kepimpinan satu yang bersikap angkuh dan meninggi diri dan satu lagi bersikap rasuah, hipokrit dan menjadi pak turut, dakwa Datuk Dr Jeffrey Kitingan hari ini.
Sistem Barisan Nasional (BN) telah mewujudkan dua jenis kepimpinan satu yang bersikap angkuh dan meninggi diri dan satu lagi bersikap rasuah, hipokrit dan menjadi pak turut, dakwa Datuk Dr Jeffrey Kitingan hari ini.
Beliau yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabtu lalu mendakwa, sistem seumpama itu hanya boleh memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan dan kemajuan negara.
Dr Jeffrey mendakwa, BN merasakan ia boleh melakukan apa sahaja yang ia suka dan tidak pernah melakukan sebarang kesilapan, kata bekas wakil rakyat kawasan Bingkor yang juga adik kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Joseph Pairin Kitingan.
"Mereka di dalam BN adalah sebahagian besarnya 'pak turut' yang bimbang kehilangan jawatan mereka," katanya kepada malaysiakini.
Dr Jeffrey menyertai PKR dalam satu majlis di Tambunan yang turut dihadiri oleh Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengenai sistem perkongsian kuasa yang didominasi oleh Umno dan berdasarkan kepada model politik tertentu, Dr Jeffry berkata, ianya tidak adil kepada rakyat Sabah.
"Pada realitinya, ia kerajaan Umno di Sabah. Ianya kerajaan BN pada nama sahaja, kerana anggota (parti komponen BN) tidak dibenarkan menyuarakan perbezaan politik mereka. Tidak ada demokrasi dalam BN," katanya.
Mengenai para pengkritiknya, termasuk bekas teman-temannya dalam parti-parti lain seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Pairin dan Parti Bersatu Rakyat Sabah, Dr Jeffrey berkata, mereka menyerang peribadinya kerana mereka tidak mempunyai isu lain untuk mengkritiknya.
"Mereka rasa mereka sentiasa betul dan saya sentiasa salah," katanya, sambil menambah, beliau mempunyai sebab yang baik mengapa beliau meninggalkan mereka untuk menyertai parti lain.
"Ianya kerana pemimpin-pemimin inilah," katanya.
Mengapa saya masuk PKR?
Sambil menegaskan yang beliau tidak kisah dengan kritikan terhadapnya, Dr Jeffrey berkata, pemimpin BN menyedari bahawa rasa kecewa dan tidak puashati rakyat terhadap kerajaan kini semakin meningkat.
"Mereka pastinya merasa tidak selesa kerana mereka sedar perasaan rakyat itu akan mempengaruhi pengundi," katanya sambil menambah, tugasnya sekarang ialah untuk mendidik rakyat mengenai apa yang berlaku, menerusi PKR.
Katanya, beliau telah memilih PKR kerana matlamat parti itu pada asasnya sama dengan matlamatnya.
"Ia adalah sebuah parti yang berpusat KL yang memahami dan menghormati hak negeri Borneo (Sabah dan Sarawak). Ia parti pelbagai kaum, menggalakan perpaduan antara rakyat Malaysia," katanya sambil menambah, sudah tiba masanya untuk menukar strategi dan memilih sebuah parti nasional dan bukan lagi parti di peringkat negeri.
"Tambahan pula, PKR dipimpin seorang pemimpin yang kuat dan dinamik," kata Dr Jeffrey merujuk kepada peranan yang dimainkan oleh Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, yang juga presiden PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Dr Jeffrey, yang suatu masa dahulu pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri ketika PBS memerintah, juga menegaskan bahawa masalah yang berlarutan berhubung layanan kerajaan pusat terhadap Sabah merupakan satu isu yang penting.
"Sudah tiba masanya untuk dilihat semula (kandungan) Perjanjian Malaysia, dan pematuhannya (oleh pihak-pihak yang berkenaan). Di bawah perjanjian itu, Sabah dan Sarawak sepatutnya menjadi rakan yang setaraf dalam persekutuan tetapi sekarang, kita merasa sepeti dijajah oleh Kuala Lumpur," katanya.
Dr Jeffrey juga menyentuh apa yang dipanggilkan pembabitan tidak signifikan Sabah dalam pentadbiran di peringkat nasional berkaitan dengan perwakilan negeri dalam kerajaan pusat serta juga kurangnya peranan rakyat Sabah dalam misi luar negara.
"Tidak terdapat seorangpun rakyat Sabah yang menjadi duta," katanya.
"Semua perkara ini mesti diperbetulkan. Kita merasakan, konsep sebenar sebuah persekutuan perlu dilihat semula supaya tidak Sabah dan Sarawak tidak didiskriminasi. Kita percaya ia boleh diselesaikan dengan agak mudah," tambahnya.
Hubungan dengan Pairin
Mengenai isu pendatang haram di Sabah, Dr Jeffrey berkata, PKR merasakan perlu ditubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja sebagai langkah pertama menangani isu tersebut.
"Suruhanjaya diraja akan menyiasat dan apabila kita memperolehi data-datanya, kita boleh menangani masalah dalam pelbagai bidang," katanya, sambil menambah, anggaran terbaru menunjukkan jumlah orang asing di Sabah, tidak termasuk pelarian, ialah 1.8 juta daripada jumlah penduduknya seramai 3.3 juta.
Mengenai hubungannya dengan Pairin, beliau berkata: "Kami dalam satu keluarga. Kami mempunyai hubungan adik-beradik yang baik, walaupun dalam politik kami berbeza pendapat."
"Kadang-kadang kami terpaksa menyatakan sesuatu yang berbeza. (Tetapi) matlamat kami adalah sama sejak dulu lagi. Saya menyokong penuh abang saya pada satu ketika dahulu bagi melakukan sesuatu untuk negeri ini. Perjuangan kami adalah untuk keadilan rakyat Sabah," katanya.
Mengenai sama ada beliau akan bertanding menentang abangnya di Tambunan, Dr Jeffrey berkata: "Ia bergantung bagaimana keadaan ketika itu. Apabila pusingan hidup tamat, orang akan berubah, dan ia tidak semestinya saya. Lagi pun, abang saya telah menjadi wakil rakyat Tambunan sejak 30 tahun lalu."
Ditanya bagaimana beliau dapat membantu PKR di Sabah, Dr Jeffrey berkata: "Pertamanya, untuk menyediakan kepimpinan yang baik, dan untuk memastikan PKR menerajui kerajaan negeri yang akan datang."
"Kedua, saya akan menonjolkan PKR sebagai wadah untuk menyatukan semula kumpulan serpihan dalam masyarakat Kadazandusun-Murut. Saya telah mula menemui akar umbi."
Menurutnya, ramai golongan profesional muda yang tampil menyertai parti tersebut. Berita asal

