Adun gesa k'jaan permudahkan bantuan makanan
Seorang Adun DAP, menggesa kerajaan mempermudahkan bantuan makanan dan barangan dapur kepada rakyat yang terjejas pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa insiden di mana pihak berkuasa cuba menghentikan usaha bantuan makanan atas alasan tidak dimaklumkan kepada bilik gerakan Covid-19.
"Saya sendiri menerima aduan daripada orang ramai bahawa mereka takut untuk membantu memberi makanan dan barangan dapur kerana takut disaman polis" kata Adun Kesidang Alex Seah Shoo Chin kepada Malaysiakini.
Terdahulu, dia menjelaskan insiden terbaru di Pandan Malim, Melaka selepas pihak polis memberi amaran kepada peniaga di sebuah medan selera yang menjalankan program Food Bank pada 1 Julai lalu.
Katanya, anggota polis mendatangi program berkenaan yang diadakan bersebelahan pusat khidmat rakyatnya.
"Mereka (polis) kata bahawa Food Bank perlu ada kebenaran.
"Saya tidak salahkan pihak polis. Mereka cuma jalankan tugas atas arahan dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan pusat," katanya.
Bagaimanapun kata Seah, pemberian bantuan itu boleh ditambah baik dengan pihak berkuasa memantau ketika bantuan diedarkan untuk memastikan penjarakan fizikal dipatuhi.
Untuk rekod, pada Jun lepas, Seah disiasat polis selepas laporan polis dibuat atas dakwaan mengganggu ketenteraman awam ketika mengedar makanan di sebuah pangsapuri di kawasannya pada waktu malam.

