Pengasuh didakwa dera bayi 9 bulan
Seorang pengasuh warga China dihadapkan atas pertuduhan mendera bayi berusia sembilan bulan, di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, A Anbalagan berkata wanita itu pada mulanya ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
"Pada 23 Jun Hospital PPUM telah terima satu pesakit bayi lelaki berusia sembilan bulan, di mana bayi tersebut tinggal bersama pengasuh yang mengatakan bayi tersebut mendapat kecederaan akibat terjatuh dari sofa.
"Semasa membuat pemeriksaan, pihak hospital mengesyaki bayi ini telah didera melalui kesan kecederaan yang dialami oleh bayi tersebut di mana mendapat kecederaan serius di kepala dan kritikal.

"Susulannya, Jabatan Siasatan Jenayah Serdang pada 24 Jun menahan suspeknya di Puchong.
"Suspek telah mendapat reman selama tujuh hari dan dituduh di mahkamah hari ini," katanya dalam kenyataan media.
Tertuduh dihadapkan dengan tuduhan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dia tidak mengaku bersalah dan diikat jamin sebanyak RM 7000.

