Umno Pulau Pinang anggap DPCPP bermain api
Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (DPCPP) dianggap "bermain dengan api" kerana membantah Draf Rancangan Struktur Pulau Pinang yang bertujuan membantu membaiki ekonomi orang Melayu negeri itu.
Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (DPCPP) dianggap "bermain dengan api" kerana membantah Draf Rancangan Struktur Pulau Pinang yang bertujuan membantu membaiki ekonomi orang Melayu negeri itu.
Tindakan pertubuhan berkenaan juga disifatkan sebagai "menongkah arus" kerana Ketua Menteri, Tan Sri Koh Tsu Khoon sendiri telah bersetuju untuk mengambil langkah-langkah segera bagi membantu bumiputera Pulau Pinang.
Setiausaha Pemuda Umno Pulau Pinang, Ramlan Ishak yang terkilan dengan tindakan DPCPP itu berkata, sepatutnya dewan berkenaan senada dengan Ketua Menteri.
"Kalau DPCPP tidak mahu berkerjasama dengan kerajaan negeri, hasrat untuk membantu orang Melayu negeri ini hanya akan menjadi omong kosong.
"Tindakan mereka membantah draf program pembangunan itu juga satu tindakan berbau perkauman, mereka bermain dengan api," tambahnya.
Ramlan yang juga Ketua Pemuda Umno Bukit Mertajam mengulas kenyataan Presiden Kehormat DPCPP, Tan Sri Tan Kok Ping semalam yang menyatakan dewan itu membantah tujuh cadangan dalam draf berkenaan yang antara lain menghendaki penglibatan 30 peratus bumiputera dalam pemilikan dna projek perumahan, perindustrian, pertanian serta peruntukan khas ruang niaga pada kadar yang munasabah.
Ini merupakan kenyataan kontroversi pertama dari dewan tersebut sejak meletusnya isu nasib Melayu Pulau Pinang yang dibangkitkan dalam mesyuarat Umno bahagian di negeri itu sepanjang Ogos hingga September lalu.
Dalam sidang media di Pulau Pinang selepas bermesyuarat dengan 10 ahli kanan DPCPP semalam, Tan berkata, ahli dewan tersebut telah menyuarakan bantahan terhadap draf tersebut Mei lalu dan bantahan itu telah diserahkan kepada Unit Perancang Ekonomi pada bulan berikutnya.
Jangan curiga
Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti, Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid pula berkata, bantahan tersebut tidak sepatutnya timbul kerana soal peruntukan 30 peratus kepada bumipuetra dalam pelbagai projek ekonomi, sudah lama dipersetujui oleh semua pihak di negara ini.
"Ia adalah satu persefahaman bersama, sepatutnya mereka tidak mempertikaikan langkah kerajaan itu. Ia sudah lama dipersetujui bersama, kena hormatlah."
"Lagipun apalah sangat 30 peratus tu, masih ada lagi 70 peratus untuk kaum lain. Kalau mereka akur, mereka tetap tak rugi apa-apa. Kalau kita sama-sama nak cari makan, kena ikutlah keputusan kerajaan," tambahnya yang juga Ketua Umno bahagian Permatang Pauh.
Sementara itu Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin pula berkata, orang Cina Pulau Pinang tidak perlu curiga terhadap langkah-langkah kerajaan memajukan ekonomi orang Melayu kerana semakin banyak projek ekonomi dilaksanakan di negeri itu, kaum lain akan turut mendapat keuntungan.
Raja Nong Chik juga menegaskan, kalaupun ekonomi orang Melayu meningkat ke tahap 30 peratus, penguasaan ekonomi oleh kaum Cina tidak terjejas.
"Jadi, tidak ada sebab untuk mereka merasa takut kerana pada masa ini kedudukan ekonomi orang Melayu terlalu jauh ketinggalan dengan orang Cina, terutama di Pulau Pinang," katanya lagi.
Katanya, jurang ekonomi di antara orang Melayu dan bukan Melayu di Pulau Pinang yang sangat besar tidak baik kepada negeri itu dan negara amnya.
Menurut Raja Nong Chik lagi, walaupun DEB sudah dilancarkan 30 tahun lalu, tetapi orang Melayu Pulau Pinang masih perlu dibantu kerana mereka masih jauh ketinggalan.

