Pilihanraya kampus: ke arah melahirkan pemimpin muda berkarisma
pendapat
Pilihanraya kampus di Malaysia baru selesai. Keputusannya mencerminkan penguasaan seimbang di antara kumpulan pelajar pro-kerajaan dan pro-pembangkang.Kampus seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Tun Hussein Onn dilaporkan dikuasai kumpulan pro-kerajaan. Manakala kampus Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus dikuasai kumpulan pro-pembangkang.
Kampus seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Tun Hussein Onn dilaporkan dikuasai kumpulan pro-kerajaan. Manakala kampus Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus dikuasai kumpulan pro-pembangkang.
Sebenarnya label pro-pembangkang dan pro-kerajaan diwujudkan oleh pihak media yang memberi liputan meluas mengenai pilihanraya kampus tahun ini. Label seumpama itu tidak wujud sebelum ini dan persaingan hanya tertumpu antara parti-parti pelajar yang ditubuhkan secara ad hoc bagi tujuan pilihanraya.
Pilihanraya tahun ini telah mendapat perhatian luarbiasa dari media kerana ia menggunakan format baru bagi memilih kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Sebelum ini, parti-parti yang bertanding dibenarkan menggunakan poster sendiri. Mereka juga dibenarkan berkempen secara terbuka. Tetapi mulai tahun ini semua poster dikeluarkan oleh Unit Hal-Ehwal Pelajar.
Tempoh berkempen disingkatkan dan kempen terbuka pula dilarang. Ini bermakna sudut pidato dan rapat umum sudah tidak dibenarkan lagi. Di UKM, misalnya, calon hanya boleh berkempen melalui pita video bagi mengelak kejadian tidak diingini serta corak kempen yang keterlaluan.
MPP berfungsi sebagai mata dan telinga pelajar dalam menjaga kebajikan mereka sepanjang pengajian di universiti. Oleh itu, barisan pimpinan yang terpilih mesti mempunyai karisma dan daya kepimpinan yang tinggi untuk memberi perkhidmatan terbaik terhadap masyarakat kampus.
Pemimpin kangkung
Istilah 'karisma' mempunyai konotasi atau perlambangan yang luas, merangkumi cara bekerja, personaliti, penampilan idea, berakhlak dan interaksi sosial yang baik. Ini bersesuaian dengan falsafah pendidikan negara ini serta pusat pengajian tinggi di seluruh dunia yang mahu melahirkan pelajar yang serba-boleh.
Sistem pendidikan di Malaysia bersifat holistik bertujuan menghasilkan insan yang mempunyai sifat cemerlang. Tetapi agak malang apabila pendidikan hanya dijadikan alat untuk melahirkan pekerja mahir sahaja. Persepsi ini perlu diperbetulkan dan pilihanraya kampus merupakan ruang paling sesuai untuk tujuan itu.
Selepas melalui pelbagai ranjau permasalahan kampus, barisan pemimpin muda ini seharusnya menjadi ampuh sebagai persediaan asas untuk menerajui negara pada masa hadapan. Proses kepimpinan ibarat menghasilkan air tulin di mana ia perlu melalui pelbagai peringkat penapisan dan sulingan.
Menurut pakar pemasaran dan ahli saintis applied behaviour Dr Tony Alessandra di dalam bukunya Charisma, salah satu ciri utama karisma ialah potensi untuk menyampaikan visi dan idea secara berkesan. Albert Einstein, Eleanor Roosevelt dan Bill Gates adalah antara beberapa tokoh terkemuka dunia yang memiliki karisma kerana kekuatan idea dan visi mereka. Pilihanraya kampus sepatutnya menjadi medium untuk tujuan itu.
Malangnya kempen yang terhad dan ketiadaan peluang pelajar menerangkan manifesto dan gagasan mereka secara jelas kepada masyarakat kampus, sedikit sebanyak menghakis karisma mereka. Pengundi hanya mampu menilai calon yang bertanding melalui poster hitam putih dan sedikit manifesto berbentuk tulisan yang dilampirkan.
Masyarakat bimbang pemimpin pelajar yang dipilih itu akan dikategorikan sebagai 'pemimpin kangkung' yang hanya menampakkan muka semasa musim pilihanraya sahaja. Pengukuhan kepemimpinan hendaklah berteraskan unsur-unsur 'kiambang bertaut' yang mempunyai akar kukuh dan mantap walaupun selepas hujan.
Pengundi matang
Tidak dinafikan politik luar kadangkala mempengaruhi bentuk dan corak undian. Kecenderungan pemimpin pelajar ke arah parti politik tertentu sememangnya tidak dapat dielakkan kerana acapkali isu yang bergolak di luar kampus secara kebetulan mempunyai nilai yang sama dengan aspirasi perjuangan pelajar.
Sebagai sebuah negara demokrasi, suasana ini membuktikan golongan pelajar dan mahasiswa kita tidak jumud dan idea mereka segar serta kreatif. Masyarakat kampus ialah pengundi yang matang dan mereka hanya memilih pemimpin yang memenuhi ciri-ciri karisma tersebut. Maka hasrat ini jangan dibantutkan melalui sekatan-sekatan yang tidak munasabah, yang sekaligus membunuh nilai karismatik yang kita inginkan.
Oleh itu kebebasan pilihanraya kampus amat diperlukan sekali oleh masyarakat mahasiswa. Mungkin format baru pilihanraya tahun ini boleh menghapuskan pengaruh pembangkang di kampus tetapi dalam masa yang sama, ia juga membunuh karisma pemimpin pelajar. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga dan kerana nyamuk seekor habis kelambu dibakar.
MOHD JAMIZAL ZAINOL sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya.

