Tentera pun turut bantu edar gula
Kerajaan Negeri Sembilan memohon bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menghantar bekalan gula ke kawasan Pertang dan Gemas selepas pemborong tidak mahu berbuat demikian kerana tidak berbaloi.
Kerajaan Negeri Sembilan memohon bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menghantar bekalan gula ke kawasan Pertang dan Gemas selepas pemborong tidak mahu berbuat demikian kerana tidak berbaloi.
"Kita hantar guna lori ATM ke dua kawasan itu setiap minggu. Pemborong tak mahu hantar kerana permintaan di dua kawasan itu sedikit dan tidak memenuhi lori mereka dan menganggap perjalanan itu tidak berbaloi," kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hassan.
"Dua tempat itu juga jauh dari Seremban. Jadi gula diambil dari Seremban dan dihantar melalui lori atau menggunakan kereta api ke sana," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, di sini hari ini.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, langkah tersebut terpaksa diambil bagi mengelak masalah kekurangan bekalan barang keperluan itu yang dihadapi penduduk setempat.
Mohamad berkata, pihaknya telah mengenal pasti masalah kekurangan bekalan gula di kawasan itu berpunca daripada masalah pengangkutan.
ATM mula menghantar gula ke kawasan itu sejak rungutan mengenai penghantaran bekalan terbabit disuarakan pembekal kepada kerajaan negeri Jun lalu.
Keadaan terkawal
Beliau berkata bantuan ATM itu bukan hanya pada musim perayaan dan bulan puasa, malah sehingga masalah penghantaran bekalan kembali normal.
Mohamad berkata setakat ini hanya dua tempat itu menggunakan khidmat ATM, manakala situasi di daerah dan kawasan lain terkawal.
Pertang dalam daerah Jelebu terletak kira-kira satu setengah jam atau dua jam perjalanan dari Seremban sementara perjalanan ke Gemas dari ibu negeri itu mengambil masa dua jam. BERNAMA
Sementara itu, dua daripada empat syarikat pengilang utama gula telah menambah pengeluaran masing-masing bagi menampung kekurangan bekalan gula di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Iskandar Halim Sulaiman berkata sebuah syarikat pengilang berjanji meningkatkan pengeluaran gula daripada jumlah yang dikeluarkannya sekarang.
"Malayan Sugar Manufacturing berjanji menambah keluarannya sebanyak 10,000 tan metrik sebulan daripada 60,000 yang dikeluarkan sekarang.
Tingkat pengeluaran
"Kilang Gula Felda Perlis turut meningkatkan pengeluarannya bagi mengatasi masalah bekalan gula ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau bekalan gula di sebuah pasar raya di Kuantan hari ini.
Menurutnya, bekalan gula di Pahang dijangka pulih sepenuhnya selepas penambahan 2,300 tan metrik daripada 1,900 tan metrik sebulan sebelum ini.
Beliau berkata kementerian itu mengarahkan pengilang menambah bekalan gula sebanyak 80 tan metrik kepada setiap pemborong di Pahang.
"Saya telah mengarahkan pengilang meningkatkan bekalan sebanyak 80 tan metrik gula sebulan iaitu daripada 160 menjadi 240 di Pahang.
"Kesemua bekalan itu akan sampai kepada pemborong hari ini dan esok dan sekiranya tidak mencukupi, bekalan tambahan akan dihantar," katanya.
Beliau berkata setakat ini hanya daerah Jerantut yang menghadapi masalah bekalan kerana hanya terdapat satu pemborong di daerah itu.
Bekalan gula di kawasan berkenaan kini disalurkan menerusi pemborong dari Kuala Lipis, Raub dan Triang, katanya.

