Bekas Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad yang didakwa atas 24 tuduhan rasuah, hari ini mendakwa dia diugut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk M Kayveas menerusi akhbar-akhbar tempatan berikutan tindakannya melakukan operasi ke atas restoran Sri Stevan's Corner (SSC), yang didakwanya milik anak kawan Kayveas.

Ketika memberi keterangan untuk membela dirinya di Mahkamah Sesyen Ampang, Abdul Kudus berkata walaupun dalam kenyataan itu Kayveas yang merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu, tidak menyebut namanya secara langsung, namun banyak petikan memberi gambaran tentang dirinya dan situasi ketika itu.

"Kenyataan itu ada kena mengena dengan tindakan saya ke atas SSC, walaupun tidak dinyatakan secara jelas, tetapi saya tahu ia merujuk kepada saya dan MPAJ terhadap SSC.

"Dia (Kayveas) guna akhbar untuk ugut saya dan takut-takutkan saya supaya jangan ganggu restoran berkenaan," katanya dalam pemeriksaan utama oleh peguam M Manoharan mengenai kenyataan akhbar yang disiarkan oleh Berita Harian, Utusan Malaysia, News Straits Times, Harian Metro, Berita Minggu dan Mingguan Malaysia.

Menurut laporan Bernama, Abdul Kudus, 44, sedang membela diri atas 24 pertuduhan pindaan, meminta dan memperoleh rasuah berjumlah RM59,000 daripada pemilik restoran Sri Steven's Corner sejak Mei 2001 hingga Mei 2004, di sekitar ibu negara dan Selangor.

Antara petikan kenyataan Kayveas yang disiarkan Berita Minggu pada 8 Jun 2003 menyebut "Saya anggap diri saya lebih profesional sebab saya hanya beri petunjuk dalam setiap kenyataan. Saya beri amaran terhadap MPAJ, berhati-hati sikit dan semak sikit. Namun saya diminta bertindak mengikut acuan profesional mereka. Ini pengajaran kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sebelum cabar mesti tahu apa yang anda cabar serta memahami keadaan apa akan berlaku bila membuat cabaran dan mesti bersedia. Kalau tidak jangan mencabar."
Serbuan tengah malam

Kenyataan pada 28 Jun 2003 yang disiarkan Mingguan Malaysia pula menyebut "Jadi saya tidak boleh cakap apa-apa pun. Saya pernah menerima aduan tentang satu serbuan ke atas sebuah restoran yang dibuat oleh MPAJ pada tengah malam. Saya pun pergi ke restoran itu dan setelah meneliti saya syak ada yang tidak kena dengan notis serbuan itu.

"Saya telefon Abdul Kudus minta dia datang untuk beri penjelasan tetapi dia tidak datang, sehingga sekarang dia masih belum datang berjumpa saya dan akhirnya saya tengok dia cabar saya melalui akhbar."

Mengenai ugutan yang diterimanya, Abdul Kudus berkata: "Ini tekanan ke atas MPAJ dan kerajaan negeri Selangor bahawa saya bocorkan maklumat kepada tonto dan terima rasuah RM70,000 sebulan sedangkan saya tidak terima wang tersebut."

Terdahulu Abdul Kudus menyerahkan keratan akhbar berbahasa Tamil yang menyatakan Kayveas menerima cek berjumlah RM50,000 daripada bapa Steven iaitu Sinappan pada satu majlis yang dianjurkan Parti Progresif Penduduk (PPP) pada 2 Jan 2003.

"Kayveas ada membuat kenyataan mengenai perkara ini (sumbangan) di akhbar dan katanya dia menerima cek itu bagi pihak PPP dan bukan kepentingan peribadi. Kayveas berkata pemilik SSC hanya beri sekeping cek tetapi wang diterima secara ansuran malah bayaran penuh belum diterima sehingga sekarang," katanya.

Abdul Kudus menambah Kayveas ada menghubunginya melalui telefon supaya menghentikan operasi MPAJ ke atas SSC pada 13 Jan 2003 iaitu dua minggu selepas majlis sumbangan itu berlaku tetapi dia tidak dapat menunaikan arahan tersebut.

'Perintah tidak sah'

Ditanya adakah beliau sentiasa ingkar dengan arahan dan enggan bekerjasama dengan menteri, Abdul Kudus berkata: "Tidak juga sebab semasa arahan itu (permintaan Kayveas supaya hentikan tindakan) itu merupakan satu perintah yang tidak sah.

"Pada waktu itu anggota saya sedang angkut barang dan jika saya ikut arahan Kayveas dan turunkan semula barang yang dirampas, orang ramai yang sedang makan akan nampak. Jika sebelum itu mungkin saya boleh buat pertimbangan dengan menangguhkannya dahulu."

Perbicaraan di hadapan Hakim Noradidah Ahmad bersambung esok.

Sementara itu, Kayveas yang mengadakan sidang akhbar di luar mahkamah, berkata beliau sedia dipanggil sebagai saksi dan akan memberitahu perkara sebenar ketika memberi keterangan.

Kayveas berkata dia turut bersimpati terhadap apa yang berlaku ke atas Abdul Kudus dan keluarga, namun Abdul Kudus perlu berhadapan dengan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

"Saya tiada masalah untuk datang ke mahkamah walaupun saya sibuk dan saya bersedia untuk bekerjasama dalam kes rasuah ini," katanya.