Kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kecewa dengan kekalahan bekas Perdana Menteri itu untuk terpilih sebagai perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu Sabtu lalu, kini meningkat tekanan terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerusi kempen di Internet.

Satu laman atau blog baru yang fokusnya khusus untuk mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan dilancarkan Selasa lalu.

"Ini sebagai inisiatif mengumpulkan sokongan menerusi internet, untuk mengumpul petisyen menyeru Abdullah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri," kata sumber dari kumpulan penyokong Dr Mahathir.

Setakat ini, lamanweb tersebut telah memuatkan dua surat terbuka yanag ditujukan kepada Abdullah dan Yang di-Pertuan Agong.

Surat kepada Yang di-Pertuan Agong itu meminta baginda menasihatkan Abdullah supaya meletakkan semua jawatan kabinetnya.

Surat terbuka kedua pula meminta Abdullah mendengar suara hati rakyat yang tidak menyenangi segala tindak tanduk kerajaan selama ini.

Blog ini bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pengendalinya yang sekadar dikenali sebagai "Sheih".

Menurut sumber itu, semua mesej dan petisyen tersebut dihantar secara automatik ke email Abdullah supaya beliau menyedari apa yang sebenarnya terkandung di dalam jiwa dan perasaan rakyat Malaysia.

Surat terbuka

Menurutnya, dalam tempoh 10 jam pertama penubuhan laman tersebut, ia sudah dikunjungi oleh 200 orang pelayar. Seramai 24 pelayar telah meninggalkan mesej mereka untuk Perdana Menteri.

Surat dari pengendali blog itu kepada Abdullah juga meminta beliau memahami bahawa luahan hati ikhlas rakyat Malaysia di laman web itu tidak disogok atau dipaksa oleh mana-mana pihak.

Surat terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong pula antara lain merayu baginda menasihatkan Perdana Menteri meletakkan jawatannya berdasarkan 30 alasan, antaranya:

  • Beliau telah gagal mengotakan janjinya yang dibuat di dalam manifesto pilihanraya 2004.

  • Beliau telah gagal mengotakan janjinya yang dibuat setelah di lantik selaku Perdana Menteri untuk membersihkan Malaysia dari gejala rasuah.
  • Beliau telah gagal menjalankan usul Suruhanjaya Diraja berhubung penubuhan IPCMC.

  • Beliau telah gagal mempertahankan kedaulatan Malaysia di dalam perjanjian-perjanjian perdagangan dua hala.

  • Beliau telah gagal mempertahankan nama baik Tun Dr Mahathir, seorang negarawan ulung yang telah begitu besar jasanya kepada negara daripada dikeji dan dihina.

  • Beliau telah gagal mengambil tindakan terhadap menantunya yang mengusulkan bahawa Tun Dr. Mahathir adalah Beruk.

  • Beliau telah gagal mengambil tindakan terhadap menteri-menteri kabinet beliau yang bersikap kurang ajar terhadap Tun Dr Mahathir.

  • Beliau sendiri telah menghina Tun Dr. Mahathir dengan mengusulkan bahawa Tun Dr. Mahathir ibarat Iblis.

  • Beliau telah gagal menjamin kebebasan bersuara yang diperuntukan oleh perlembagaan mengakibatkan Tun Dr. Mahathir merasakan dirinya lebih hina dari mana-mana pacar Tuanku yang terhina.

  • Beliau telah secara terbuka menipu rakyat Malaysia dengan membuat kenyataan-kenyataan yang bercanggah dengan kebenaran hakiki.

  • Beliau telah gagal membendung sentimen perkauman yang semakin menular dan didalangi sendiri oleh menantunya.

  • Beliau telah gagal mempertahankan aset negara dari menjadi milik negara asing.

  • Beliau telah mengakibatkan negara kerugian berjuta-juta ringgit di dalam masa yang singkat dengan menarik balik projek-projek yang sudah berjalan.