3 maut lepas kren rebah hempap kereta
Kemalangan ngeri meragut tiga nyawa dan menyebabkan dua lagi cedera parah setelah kren pembinaan rebah di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) dan menghempap sebuah kereta.
Kemalangan itu berlaku berhampiran sebuah kondominium di Persiaran Alam Damai, Cheras.
Satu kenyataan oleh Pusat Gerakan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mengesahkan bahawa mereka telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.45 pagi dan mengerahkan 25 anggota dari stesen Cheras, Tun Razak dan Hang Tuah ke lokasi kemalangan.
Kenyataan itu tidak menamakan lebuh raya berkenaan.
Menurut ketua operasi Mohd Khairul Azmi Jaafar, kejadian itu melibatkan struktur besi 'Kren Launcher' pembinaan lebuh raya yang telah jatuh dan menghempap sebuah kereta Perodua Bezza.
Tiga daripada mangsa adalah pekerja yang mengusahakan projek pembinaan. Dua daripadanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Sementara seorang lagi kemudian disahkan meninggal dunia.
Pemandu kereta, yang merupakan warganegara Malaysia, juga mengalami kecederaan serius.
Awal bulan ini, pada 3 Mac, seorang pemandu treler merempuh tapak pembinaan lebuh raya Suke yang menyebabkan ia runtuh dan mengakibatkan dua kematian. Pemandu itu kemudiannya didapati positif metamfetamin.
Kejadian itu berlaku di hadapan pangsapuri Desa Tasik, berhampiran terminal bas Bandar Tasik Selatan dan di sepanjang Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke arah Pandan Indah menuju ke Ampang.


