Selamatkan 1,000 murid cicir
Dalam masa 72 jam sahaja, lebih 1180 kes murid cicir telah dilaporkan. Angka tersebut terus bertambah dari hari ke hari menjadikan kes sehingga hari ini hampir mencecah 10,000. Jika kita tidak selamatkan mereka hari ini, siapa lagi?
Kementerian Pendidikan Malaysia melaporkan kepada kita tahun lepas, 36% daripada murid-murid kita di seluruh Malaysia tidak dapat belajar secara online atas banyak faktor. Peratusan ini jika dihitung daripada jumlah keseluruhan murid, bererti lebih 1.5 juta murid di Malaysia tidak belajar secara online bermula Mac tahun lepas.
Angka ini sangat berkait rapat dengan pergelutan rakyat Malaysia terpaksa tempuh ekoran Pandemik yang melanda sehingga 1.2 juta rakyat hilang pekerjaan. Jumlah ini terhitung daripada dua angka yang perlu diberi perhatian serius iaitu 800,000 rakyat hilang pekerjaan terus dan 420,000 rakyat terpaksa bekerja kurang (underemployed) sejak Pandemik melanda.
Angka ini didedahkan kepada kita tahun lepas, dan mustahil untuk angka ini berkurang ketika gelombang Pandemik terus melanda sehingga hari ini.
Kedua-dua situasi ini; 1.5 juta murid tidak dapat belajar secara online dan 1.2 juta rakyat tidak bekerja, adalah padanan yang tepat bahawa faktor kemiskinan memberikan kesan langsung kepada akses pendidikan.
Bererti, semakin kecil poket isi rumah, semakin kecil juga peluang pendidikan buat anak-anak.

Laporan UNICEF
20 November 2020, ketika kita sepatutnya riang menyambut Hari Kanak-kanak Sedunia, UNICEF menerbitkan satu laporan khas yang mendedahkan situasi kritikal kanak-kanak di seluruh dunia akibat Pandemik.
Laporan itu bertajuk Averting a lost COVID generation.
UNICEF memberitahu, sejak Pandemik melanda sehingga Oktober 2020, terdapat pertambahan sebanyak 150 juta kanak-kanak di seluruh dunia yang tidak dapat akses kepada pendidikan, kesihatan, tempat tinggal yang selamat dan nutrisi yang cukup.
Selain daripada 70% perkhidmatan kesihatan mental terganggu, kanak-kanak juga menghadapi kehilangan suasana pembelajaran yang amat serius kerana rata-rata negara menutup sekolah.
Menurut UNICEF, sehingga Oktober tahun lepas sahaja, secara puratanya kanak-kanak di seluruh dunia kehilangan 50 hari persekolahan.
Jika kita hitung semula sejak Mac 2020 sehingga 20 Januari 2021, kanak-kanak di Malaysia telah kehilangan 185 hari persekolahan yang bersamaan dengan 4,440 jam waktu belajar.
Semua ini adalah satu situasi yang amat serius dan seperti gesaan UNICEF, sesuatu perlu dilakukan untuk menyelamatkan apa yang disebut UNICEF sebagai the lost generation.

Kenyataan The World Bank
The World Bank sebelum Pandemik telah meramal sesuatu yang buruk bakal terjadi kepada pendidikan anak-anak kita dan seandainya krisis global seperti Pandemik Covid-19 melanda, ia bakal menatijahkan apa yang disebut The World Bank sebagai learning poverty (kemiskinan pembelajaran).
Baca kenyataan The World Bank yang paling terbaru di sini:
Kemiskinan pembelajaran ini menurut The World Bank akan bertambah sehingga 63% berbanding 53% sebelum ini terutama di negara-negara berpendapatan rendah dan menengah.
Nota penting, Malaysia termasuk dalam negara berpendapatan menengah.
Kertas kerja penyelidikan oleh The World Bank boleh didapati di sini:
The World Bank menyimpulkan dalam laporan berjumlah 61 mukasurat ini bahawa kehilangan separuh tahun persekolahan bersamaan dengan kehilangan hampir 7 tahun persekolahan yang efektif dan berfungsi seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Data The World Bank juga menunjukkan peningkatan mendadak peratusan murid yang kemiskinan pembalajaran sehingga 10% hanya dalam masa setahun akibat Pandemik dan menggesa mana-mana pihak untuk bertindak sekarang. Memetik The World Bank:
“Learning losses are mounting, and it is critical that children and youth re-engage with the learning process, either with effective remote learning, hybrid options, or returning to safe schemes of presential education.”
Apa yang Boleh Dilakukan untuk Selamatkan Kanak-kanak ini di Malaysia?
Persoalan ini memerlukan perbincangan yang panjang dan kerja buat bersama oleh ramai pihak terutama Kerajaan.
Namun sebagai rakyat biasa, kita tidak boleh terus menunggu kerana Pandemik ini masih tidak surut dan kesan pasca-Pandemik seperti dilaporkan UNICEF dan The World Bank akan terus berterusan.
Sebagai sebuah gerakan bebas dan rentas ideologi, Untuk Malaysia telah memulakan satu projek khas yang diberi nama Selamatkan 1,000 Murid Cicir.
Projek ini menyasarkan untuk menyelamatkan sekurang-kurangnya 1,000 murid cicir pada tahun 2021.
1,000 murid adalah angka yang kecil tetapi memerlukan dana dan kos operasi yang amat besar.
Kami di Untuk Malaysia membuat kajian menyeluruh mempertimbang saranan-saranan dari UNICEF, The World Bank, UNESCO, WHO dan banyak pertubuhan pendidikan lain tentang kaedah terbaik untuk menyelamatkan anak-anak yang tertinggal pembelajaran ini.
Krisis ini bersifat global dan rumit, justeru kami memulakan usaha ini dengan menyasarkan kepada murid dari tahun 1 hingga 6 yang tidak boleh 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
Sehingga kini, kita tidak didedahkan dengan data terperinci berkenaan jumlah murid yang terkesan daripada Pandemik. Oleh hal yang demikian, Untuk Malaysia membuka ruang orang ramai samada ibu bapa, guru, ahli keluarga, jiran atau media untuk melaporkan kes murid cicir kepada kami.
72 jam selepas kami membuka borang untuk masyarakat melaporkan kes murid cicir di kejiranan masing-masing, kami menerima lebih dari 1,180 kes dan sehingga hari ini, kes murid cicir yang dilaporkan kepada mencecah hampir 10,000.
Bagaimana Untuk Malaysia Membantu Menyelamatkan Murid-murid ini?
Bersama dengan Konsultan Pendidikan dan Pakar Pendidikan Kanak-kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli, Untuk Malaysia membangunkan modul intervensi khas untuk membantu anak-anak ini belajar membaca.
Terdapat 5 pendekatan intervensi yang kami manfaatkan:
1. Berterusan
Intervensi ini mengambil masa selama sekurang-kurangnya 10 bulan untuk memastikan keberkesanannya (success rate) mencapai lebih dari 90%.
2. Bertumpu
Seorang Changemaker akan membimbing dua orang murid. Ini bagi memastikan tiada peer pressure dan penumpuan sepenuhnya terhadap proses pembelajaran murid.
3. Setempat
Changemaker pula akan dipilih dari dalam kawasan kejiranan yang sama, atau sekurang-kurangnya daerah yang sama bagi memudahkan urusan pergerakan sekali gus memastikan keselamatan dan kesihatan kedua-dua pihak.
4. Modul
Intervensi ini memanfaatkan modul yang diberi nama #kitabaca dan berasaskan kepada aktiviti dan permainan serta pengukuhan emosi. Modul ini diadaptasi dari negara-negara maju seperti Finland.
5. Changemaker terlatih
Murid cicir ini akan dibimbing oleh Changemaker Untuk Malaysia yang telah dilatih khusus oleh Dr Putri Afzan dan pasukan beliau.

Bantu Kami, untuk Kami Bantu Anak-anak ini
Sebagai sebuah gerakan, kami amat memerlukan sokongan dan bantuan ramai pihak untuk memastikan projek ini berjaya dilaksanakan.
Bantuan mengikut kemampuan masing-masing boleh menyelamatkan murid cicir daripada terjerumus ke dalam lembah keciciran yang akan merosakkan hidup mereka.
Apa akan berlaku jika anak-anak ini tidak dibantu? Menurut UNICEF, lost generation ini bukan cuma soal tidak ke sekolah, tetapi ia akan memberi kesan kepada ekonomi, sosial dan seterusnya produktiviti negara.
Kes berhenti sekolah akan bertambah, kes jenayah setempat akan meningkat, kes pengangguran dan seterusnya jurang ekonomi yang akan terus menjadi barah dalam negara.
Masyarakat Malaysia boleh membantu mengikut kemampuan masing-masing di:
https://untukmalaysia.my/v2/bantuan-murid-cicir/


