MCA tidak meminta kerusi Parlimen Kepong daripada Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang, kata Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting hari ini.

"MCA tidak membuat sebarang permintaaan. Saya tidak fikir MCA dibawa pada perbahasan awam ini (mengenai siapa yang sepatutnya bertanding bagi kerusi Kepong)," kata Ong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

MCA akan menggunakan saluran dalaman BN jika ada sebarang perbincangan mengenai peruntukan kerusi, katanya selepas beliau merasmikan Persidangan Hartanah dan Perumahan Kebangsaan di Bandar Sunway di Petaling Jaya.

Ahad lalu, Umno Bahagian Kepong mahu MCA mengambilalih kerusi itu daripada Gerakan dan bertanding bagi kerusi Parlimen Kepong dalam pilihanraya umum akan datang. Kerusi itu kini dipegang oleh DAP.

Menurut laporan Bernama, permintaan itu dikemukakan oleh ketua Umno bahagian itu Datuk Rizuan Hamid kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak di mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kepong Ahad lalu.

Lebih kuat

Rizuan berkata Gerakan telah kehilangan kerusi Kepong sejak beberapa pilihanraya umum lalu, dengan hanya menang sekali.

Malahan, katanya Gerakan lemah di kawasan Parlimen itu kerana parti tersebut hanya mempunyai 15 cawangan dengan kira-kira 3,500 ahli berbanding MCA ada 22 cawangan dengan lebih 10,000 ahli.

Sehubungan itu, MCA dianggap lebih kuat dan hendaklah bertanding bagi kerusi itu, yang mempunyai 80 peratus pengundi China.

Bagaimanapun, permintaan itu mendapat reaksi kuat daripada Setiausaha agung Gerakan Datuk Seri Chia Kwang Chye dengan mengatakan Umno Kepong jangan membuat permintaan kerana ini akan menjejaskan semangat kerjasama BN dalam kawasan pilihanraya itu.