Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi lebih terpengaruh dengan keluarganya dan bukannya Kabinet.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau mendapat tahu mengenainya dari Tun Musa Hitam ketika mereka kebetulan sama-sama menghadiri majlis Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya duduk sebelah Musa. Kata dia, ni kita bagi nasihat, dia tanya anak dia, menantu dia. Musa kata begitu pada saya. Dia tanya anak, dia tanya menteri, dia ikut cakap anak menantu," kata Dr Mahathir dalam satu wawancara khas dalam akhbar politik Era Baru terbitan 8 September.

"Saya tak tahu sekarang kerajaan macam mana. Kerana mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno memang pun tertutup. Tapi di masa saya dulu, saya beri begitu banyak peluang untuk semua ahli bercakap.

"Sebab itu dalam kes Datuk Musa Hitam (Tun) letak jawatan, kita bermesyuarat dari pukul 9 sehingga 4 pagi. Tiap-tiap ahli MT diberi peluang sekurang-kurangnya dua kali bercakap dan lepas itu barulah buat keputusan.

"Dan keputusan yang dibuat itu tidak memihak kepada saya, lebih memihak kepada usaha untuk memujuk Datuk Musa. Saya tak halang. Itulah cara dulu, sekarang saya tak faham macam mana," tegasnya.

Jambatan bengkok

Mengenai isu pembatalan jambatan bengkok, Dr Mahathir hairan masakan ahli MT tidak tahu bahawa Singapura tidak membantah dan kerja-kerja pembinaannya juga telah bermula.

"Kalau ahli MT sedar tentang perkara itu, mereka seharusnya membantah, tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku. Semuanya siap diberitahu terlebih dahulu, kenyataan dibuat oleh Perdana Menteri, selepas itu kabinet bersetuju.

"Jadi tak nampak langsung perbahasan, semuanya apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri," tegasnya sambil menambah bahawa tidak ada sebab kenapa jambatan itu tidak boleh dibina.

"Kalau dia kata orang ramai tak nak jambatan itu dibina, bohong! Orang ramai tak pernah tolak pembinaan jambatan. Saya tahu. Sultan Johor beri tanah untuk jayakan projek itu," katanya.

Mengenai isu Permit Import (AP) kereta dan penjualan MV Agusta, Dr Mahathir berkata ia tidak menguntungkan negara tetapi hanya menguntungkan orang tertentu.

"Kita cuba guna Proton (untuk) beri peluang orang Melayu berniaga dalam bidang jualan kereta. Proton ada banyak ejen Melayu. Tapi bila AP dikeluarkan, ia mengurangkan penjualan Proton, dan meningkatkan penjualan kereta import.

'Tutup mulut'

"Kereta Proton rugi, tetapi kereta import diisytihar harga rendah, dengan itu mereka boleh jual dengan harga murah dan akibatnya, Proton tidak boleh bersaing," tambahnya.

Dr Mahathir juga mempersoalkan mengapa lebih 9,000 AP diberikan dua orang sahaja yang didakwanya bukan berniaga kereta tetapi menjual AP, sedangkan ia diberi secara percuma.

"Dia (Abdullah) tahu hal ini, pasal apa dia masih simpan menteri (merujuk kepada Datuk Seri Rafidah Aziz) yang buat kerja ini! Saya dengar yang dapat ribuan AP itu ada hubungan keluarga dengan menantu Pak Lah," tegasnya.

Oleh itu, Dr Mahathir mendakwa, ada usaha untuk 'menutup mulutnya' kerana jika ahli Umno tahu, kemungkinan mereka tidak menyokong kepimpinan sekarang.

"Kalau kita jadi ahli Umno, kita bersatu dalam Umno, tetapi bersatu hendaklah untuk kebaikan. Kalau kita bersatu memimpin orang yang buat kesalahan, kita sama-samalah salah. Dia (Abdullah) tak mahu dengar orang lain punya penerangan.

"Kalau ikut saja asalkan datang dari pemimpin kami sokong, (maka) itu bukan sifat Umno. Kalau macam tu, Dato' Onn kata Umno harus dibuka kepada orang bukan Melayu, semua sokong, tak adalah Umno macam hari ini," tambahnya.