Ulang tahun ke-2 reformasi rakyat
Hari ini, dua tahun lalu, jatuhnya pada Selasa. Semalam negara bercuti sempena keletihan Sukan Komanwel. Hari inilah bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengadu kepada seorang magistret wanita bahawa beliau dibelasah dengan parah di Bukit Aman dan dibiarkan kesakitan tanpa rawatan selama lima hari.

"Saya ditumbuk dengan kuat di dagu dan mata kiri saya. Saya juga dipukul di kepala (kanan) dan mereka memukul leher (kiri) dengan kuat," terang Anwar.

"Saya kemudiannya ditampar dengan kuat di kiri dan kanan sehingga darah keluar dari hidung saya dan bibir saya pecah. Kerana itu, saya tidak boleh melihat dan berjalan seperti biasa."

Kemudiannya, kita semua tahu nasib yang menimpa hakim Hasnah Mohd Hashim yang arif itu, bukan?

Semalam, tahun itu, demonstrasi pro-Anwar tercetus selepas waktu 'Asar di depan Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur. Hari ini juga Naib Presiden Parti Keadilan Nasional, Tian Chua, dibelasah di atas trak polis sebelum dibawa ke lokap.

Waktu itu beliau belum lagi bersama penyokong reformasi. Selain sebagai aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Tian bertindak mengetuai Gagasan Demokrasi Rakyat, satu gabungan badan bukan kerajaan dan parti politik untuk menentang ISA. Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) yang dipimpin PAS melancarkan kempen itu dalam tempoh yang sama.

'Ops Dalil'

Limpahan lebih 50,000 penyokong pembangkang di Taman Melewar, Gombak dan kutipan lebih RM60,000 pada malam pelancaran Gerak itu sungguh menakjubkan. Pada saat itu, kelainan politik - kemudiannya membentuk teras penyokong Barisan Alternatif - sudah mula dirasakan.

Pada Sabtu 26 September dua tahun lalu, siri demonstrasi terus berjalan selepas dipimpin Anwar pada hujung minggu sebelumnya. Beberapa ratus orang berdiri di pinggir-pinggir Dataran Merdeka. Kawasan bersejarah ini dikepung oleh pasukan polis merah dan biru.

Orang ramai bertompok-tompok di simpang jalan bercabang empat, di penjuru mahkamah magistret, sebahagiannya di Lebuh Pasar dan sebahagiannya di Dayabumi.

Mereka datang ke situ untuk satu tujuan: demonstrasi reformasi dan bebaskan Anwar!

Sehari sebelum itu, sekumpulan penyokong reformasi mengadakan perhimpunan di Masjid Negara selepas sembahyang Jumaat. Ia dipimpin oleh Abd Malek Hussin dan pada sebelah malam, beliau ditahan di bawah ISA dan mendakwa didera oleh polis dengan kejam.

Perhimpunan hujung minggu ini merupakan siri keempat dalam masa seminggu, bermula pada Isnin 21 September - beberapa puluh orang ditahan sepanjang tempoh tunjuk perasaan pada waktu pejabat dalam 'Ops Dalil' sehingga menimbulkan kebingungan beberapa pejabat di tengah-tengah ibu kota.

Mereka sudah mendapat maklumat tentang Anwar itu melalui Laman Reformasi, apabila ia dikemas kini pada 24 September selepas beberapa hari berdiam diri. Laman itu membeku seketika akibat ribut tangkapan pemimpin utama Gerakan Reformasi dan rakan Anwar bermula selepas bekas pemimpin Umno itu dan Ruslan Kassim ditahan pada 20 September, malam.

Poster terbaik

Tetapi secara pasti, hanya pada hari ini tahun 1998, dunia mengetahui keganasan Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor tetapi kecederaan itu disifatkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, ketika di Jepun sebagai "mungkin self-inflicted" (Anwar pukul diri sendiri).

Ketika di mahkamah, Anwar memberitahu beliau beberapa kali merayu polis supaya membenarkannya mendapat rawatan tetapi tidak diendahkan sehingga kecederaan menjadi lebih parah. Lima hari dibiarkan tanpa rawatan dan ini namanya keadilan?

Apabila dibawa keluar, polis mengawal ketat sehingga tidak seorang pun berjaya merakamkan foto mata lebamnya. Satu-satunya akhbar yang menyiarkan foto Anwar - di dalam sebuah Pajero polis - ialah The Sun, muka depan.

Foto mata lebam, dengan tangan Anwar diangkat ke langit sebagai simbol perjuangan, hanya berjaya dirakam ketika beliau dibawa ke mahkamah Petaling Jaya, esoknya, kali ini atas tuduhan liwat.

Ia kemudiannya menjadi poster terbaik untuk meneruskan kempen 'salam reformasi,' khususnya pada hari Anwar dijatuhkan hukuman untuk kes pertama, 14 April tahun lalu.

Hari ini, hari pertama Anwar dibawa ke mahkamah dan dunia menjadi gempar. Lanskap politik Malaysia selepas itu tidak pernah sama lagi.