Isu bahasa dan hubungan etnik
Terlebih dahulu saya ingin ucapkan tahniah kepada Youth for Change (Y4C) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) atas kejayaan mereka dalam menganjurkan Kursus Alternatif Perhubungan Etnik Edisi Masyarakat Sipil meskipun menghadapi sabotaj.
Saya yakin dengan sikap terbuka, melalui dialog antara pandangan, konsep dan pendekatan yang berlainan demi mencari persefahaman, kita akan membuktikan isu bahasa tidaklah sensitif seperti yang didakwakan sesetengah pihak.
Perlu diingatkan bahawa isu bahasa bukan isu yang unik bagi negara kita, ia isu sejagat yang dihadapi oleh semua kaum atau komuniti bahasa di seluruh dunia, terutamanya dalam masyarakat berbilang kaum.
Oleh itu, kita perlu memperluaskan rujukan dan skop pandangan kita ke warisan komuniti antarabangsa secara menyeluruh, tidak terkongkong oleh warisan penjajah British dan dasar-dasar Perikatan/Barisan Nasional sahaja.
Saya yakin dengan sikap terbuka, melalui dialog antara pandangan, konsep dan pendekatan yang berlainan demi mencari persefahaman, kita akan membuktikan isu bahasa tidaklah sensitif seperti yang didakwakan sesetengah pihak.
Perlu diingatkan bahawa isu bahasa bukan isu yang unik bagi negara kita, ia isu sejagat yang dihadapi oleh semua kaum atau komuniti bahasa di seluruh dunia, terutamanya dalam masyarakat berbilang kaum.
Oleh itu, kita perlu memperluaskan rujukan dan skop pandangan kita ke warisan komuniti antarabangsa secara menyeluruh, tidak terkongkong oleh warisan penjajah British dan dasar-dasar Perikatan/Barisan Nasional sahaja.
Justeru, mungkin ada baiknya kita membuat sedikit tinjauan dan kritikan terhadap dasar bahasa, sistem pendidikan dan dasar kebudayaan negara kita berasaskan hak-hak bahasa seperti yang diperakui dalam Deklarasi Sejagat tentang Hak-Hak Bahasa, Barcelona 1996 (Universal Declaration on Linguistic Rights, Barcelona 1996, selepas ini diringkaskan sebagai Deklarasi Barcelona).
Oleh kerana selama ini kita sudahpun didoktrinkan dengan konsep-konsep dan dasar-dasar yang merupakan warisan penjajah British dan kerajaan Perikatan/Barisan Nasional, maka mungkin mind-set kita sudah distereotaipkan.
Bagaimanapun, sikap liberal untuk berdialog dengan pandangan dan pendekatan yang berbeza, akan membolehkan kita mencapai persefahaman yang lebih seimbang, dan memanfaatkan penjalinan hubungan etnik yang lebih memuaskan.
2. Beberapa perakuan Deklarasi Barcelona yang boleh dijadikan rujukan
Sebelum membuat tinjauan dan kritikan terhadap dasar bahasa, sistem pendidikan dan dasar kebudayaan kebangsaan negara negara kita, rasanya ada baiknya diperkenalkan beberapa perakuan Deklarasi Barcelona yang berkaitan sebagai rujukan.
Article 4
Artikel ini menyentuh perbezaan sikap integrasi sebagai hak dan tanggungjawab seseorang di mana seseorang itu boleh mengekalkan ciri-ciri kebudayaan asalnya sementara berkongsi rujukan-rujukan, nilai-nilai dan bentuk-bentuk kelakuan masyarakat tuan rumah dan asimilasi di mana ciri-ciri kebudayaan asal seseorang itu digantikan dengan rujukan-rujukan, nilai-nilai dan bentuk-bentuk kelakuan masyarakat tuan rumah. Ditegaskan bahawa tidak dibenarkan asimilasi secara paksaan atau melalui apa-apa pengaruh, ia hanya boleh merupakan hasil pilihan bebas sepenuhnya.
Article 10
Artikel 10 Deklarasi memperakui semua komuniti bahasa mempunyai hak-hak yang sama rata dan tidak boleh didiskriminasikan berasaskan kedudukan politik, ekonomi dan sebagainya, atau atas ukuran tahap bahasa-bahasa terbabit dikodkan, dikemaskini dan dimodenkan atau sebarang ukuran yang lain.
Segala tindakan yang perlu mesti diambil untuk melaksanakan prinsip kesamarataan ini agar ia dapat menghasilkan kesan.
Article 15
Artikel 15 Deklarasi ini memperakui semua komuniti bahasa mempunyai hak untuk menggunakan bahasa mereka secara rasmi dalam wilayah/negara mereka, termasuk dalam urusan perundangan dan pentadbiran, dan semua dokumen dan rekod dalam bahasa terbabit adalah sah dan tidak boleh diabaikan.
Article 23
Artikel 23 Deklarasi ini memperakui pendidikan mesti membantu kebolehan komuniti bahasa terbabit untuk mengekspresi bahasa dan kebudayaan mereka; membantu mengekalkan dan membangunkan bahasa terbabit; mengabdi kepada kepelbagaian/diversiti bahasa dan kebudayaan dan demi tujuan keharmonian hubungan komuniti bahasa seluruh dunia. Dalam konteks prinsip-prinsip tersebut, setiap orang berhak untuk mempelajari sebarang bahasa.
Article 24
Artikel 24 Deklarasi ini memperakui semua komuniti bahasa mempunyai hak untuk memutuskan setakat mana bahasa mereka akan digunakan sebagai bahasa pengantar atau sebagai objek (matapelajaran) pembelajaran dalam semua tahap pendidikan di wilayahnya: prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah teknikal dan vokasional, universiti, dan pendidikan dewasa.
Article 41
Artikel ini memperakui hak bahasa komuniti diguna, dipelihara dan ditingkatkan dalam semua bentuk ekspresi/pelahiran kebudayaan dan mempertahankan ruang komuniti daripada diduduki oleh kebudayaan asing secara hegemonik.
3. Tinjauan dan kritikan terhadap Dasar Bahasa, Sistem Pendidikan dan Dasar Kebudayaan Negara berasaskan perakuan-perakuan Deklarasi Barcelona
A. Dasar Bahasa Negara
Di Malaysia, Bahasa Melayu bukan saja merupakan bahasa rasmi tunggal, malah ia adalah bahasa kebangsaan, ini telah diperuntukkan dalam Perkara 152 fasal 1 Perlembagaan Persekutuan 1957 bahawa:
"Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen dengan syarat:
a. Tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi maksud lain daripada maksud rasmi) atau daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain; dan
b. Tiada apa-apa jua dalam fasal ini boleh menyentuh hak mana-mana kerajaan negeri bagi memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan."
Perkara 152 fasal 6 mentafsirkan 'maksud rasmi' sebagai apa-apa jua maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.
Nyata sekali, bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi tunggal telah bercanggah dengan Artikel 10 Deklarasi Barcelona yang memperakui semua komuniti bahasa mempunyai hak-hak yang sama rata dan tidak boleh didiskriminasikan; dan Artikel 15 Deklarasi Barcelona yang memperakui semua komuniti bahasa mempunyai hak untuk menggunakan bahasa mereka secara rasmi dalam wilayah (negara) mereka.
Oleh kerana bukan merupakan bahasa rasmi, bahasa Cina dan bahasa Tamil umpamanya tidak dibenarkan penggunaannya dalam Dewan Rakyat, pentadbiran kerajaan, mahkamah, universiti awam, dan institusi-institusi awam seperti hospital dan sebagainya.
Justeru, masyarakat Cina dan India telah memperjuangkan agar bahasa mereka diakui sebagai bahasa rasmi supaya bahasa-bahasa mereka tidak terus didiskriminasikan, tetapi telah ditolak oleh kerajaan. Bagaimanapun bahasa Melayu terus disokong sebagai bahasa kebangsaan dalam hubungan ia merupakan lingua franca atau bahasa perantara rakyat pelbagai kaum di negara kita.
B. Dasar Pendidikan Kebangsaan
Matlamat muktamad/akhir Dasar Pendidikan Kebangsaan negara kita ialah untuk mencapai satu sistem pendidikan kebangsaan di mana bahasa Melayu akan digunakan sebagai bahasa pengantar utama.
Justeru, inisiatif masyarakat Cina untuk menubuhkan Universiti Merdeka yang akan menggunakan pelbagai bahasa sebagai bahasa pengantar mengikut keperluan kursus telah ditolak oleh kerajaan dengan alasan bahasa Cina tidak dibenarkan menjadi bahasa pentabdiran dan bahasa pengantar di universiti kerana ia bukan bahasa rasmi negara kita.
Dan Akta Pelajaran 1961 telah menswastakan Sekolah Menengah Cina yang enggan menukar bahasa pengantar utamanya daripada bahasa Cina kepada bahasa Inggeris dan kemudiannya bahasa Melayu.
Oleh itu, sekarang negara kita ada 60 buah Sekolah Menengah Cina Swasta (lebih kurang 60,000 pelajar), diselenggarakan oleh Dong Jiao Zong (ringkasan bagi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia) dengan sokongan komuniti tanpa bantuan kerajaan.
Ini bermakna, kini kaum Cina dan kaum India hanya mempunyai Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau SJK(C) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil atau SJK(T) dalam Sistem Pendidikan negara kita.
Namun, tanpa berselindung lagi kerajaan telah mengumumkan dasar memperkasakan sekolah kebangsaan, dan sering pula kedengaran menteri-menteri Umno yang menuduh bahawa kewujudan aliran sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil merupakan rintangan kepada perpaduan nasional.
Malah dalam Sekolah Wawasan Konsep dan Pelaksanaan yang disediakan oleh Bahagian Perancangan dan Dasar Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia pada Disember 1995, telah ditegaskan bahawa Sekolah Wawasan adalah berlatarbelakangkan matlamat Wawasan 2020 untuk pembentukan bangsa Malaysia, di mana Sekolah Kebangsaan merupakan alat perpaduan yang paling penting dan perlu dilaksanakan sepenuhnya secara beransur-ansur. Justru matlamat muktamad/akhir Dasar Pendidikan Negara kita yang akan menghapuskan SJK(C) dan SJK(T).
Perlu ditekankan bahawa bahasa puluhan etnik minoriti yang lain bukan setakat didiskriminasikan, tetapi diabaikan sama sekali. Mereka tidak menikmati sebarang hak bahasa mereka seperti yang terkandung dalam Deklarasi Barcelona .
Rasanya badan-badan bukan kerajaan patut membuat sesuatu untuk mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan yang sepatutnya berkaitan dengan hak-hak bahasa bagi puluhan etnik minoriti tersebut.
Kerajaan Barisan Nasional terlalu mengagung-agungkan bahasa Inggeris. Sekarang bahasa Inggeris telah digunakan sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran sains dan matematik di sekolah rendah dan sekolah menengah bagi semua aliran sekolah.
Dasar mengagung-agungkan bahasa Inggeris ini amat menjejaskan pendidikan bahasa ibunda dan akan merugikan pencapaian akademi pelajar dalam matapelajaran yang terbabit. Dasar ini ditentang oleh rakyat pelbagai kaum, namun kerajaan masih berdegil dengan dasar yang tidak masuk akal ini.
Di samping itu, bahasa Inggeris telah merupakan bahasa pengantar utama bagi kebanyakan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara kita, dan ia juga makin meluas digunakan sebagai bahasa pengantar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Tidak dapat dinafikan bahawa Dasar Pendidikan Kebangsaan dan pelaksanaannya telah mengingkari Artikel 24 Deklarasi Barcelona yang memperakui semua komuniti bahasa mempunyai hak untuk memutuskan setakat mana bahasa mereka akan digunakan sebagai bahasa pengantar atau sebagai objek/matapelajaran pembelajaran dalam semua tahap pendidikan di wilayah/negaranya: prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah teknikal dan vokasional, universiti, dan pendidikan dewasa.
C. Dasar Kebudayaan Negara
Dasar Kebudayaan Kebangsaan kita berasaskan tiga prinsip yang ditetapkan oleh kerajaan, iaitu:
1. Berteraskan kepada kebudayaan asal rantau budaya Melayu;
2. Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima; dan
3. Islam sebagai agama rasmi negara menjadi unsur penting dalam pembentukan dasar ini.
Jelas sekali, Dasar Kebudayaan Negara yang berasaskan tiga prinsip tersebut memperlihatkan pendekatan asimilasi berteraskan kebudayaan Melayu dan unsur Islam.
Dasar tersebut jelas bercanggah dengan perakuan Artikel 4 Deklarasi Barcelona berkaitan dengan pendekatan asimilasi, dan akan mengakibatkan ruang kebudayaan etnik-etnik yang lain diduduki oleh kebudayaan Melayu dan unsur Islam seperti perakuan Artikel 41 Deklarasi yang sama.
4. Agenda tersembunyi: Satu bangsa, satu bahasa, satu negara?
Pada hakikatnya, Kerajaan Barisan telah mengisytiharkan negara kita sebagai negara Islam, malah mensasar untuk membentuk apa yang dinamakan negara bangsa (nation state) melalui pembentukan bangsa Malaysia yang merupakan salah satu matlamat Wawasan 2020.
Nampaknya kerajaan sedang berusaha untuk membentuk 'bangsa Malaysia' melalui dasar-dasar bahasa, pendidikan dan kebudayaan kebangsaan yang mendiskriminasikan etnik-etnik minoriti dan berpendekatan asimilasi, agar mencapai agenda tersembunyi kerajaan selama ini: Satu bangsa (bangsa Malaysia), satu bahasa (bahasa kebangsaan) dan satu negara (negara Islam)!
Dalam sebuah masyarakat majmuk, dengan bahasa, agama, kebudayaan dan adat resam yang merencam, jika matlamat muktamad/akhir ini hendak dicapai melalui paksaan kuasa pentadbiran, ia sudah tentu akan menimbulkan ketidakpuasan malah tentangan dan konflit etnik-etnik minoriti yang berasa terancam oleh dasar-dasar diskriminasi terbabit.
Jika pertikaian berlaku dalam konteks tersebut, maka ia lebih bersifat kontradiksi atau ketegangan antara kerajaan dengan kaum-kaum minoriti yang berasa terancam, bukan antara pelbagai kaum.
Akan tetapi, tidak mustahil juga sentimen perkauman ditimbulkan akibat hasutan anasir-anasir tidak bertanggungjawab, terutamanya petualang-petualang politik yang cuba hendak memainkan peranan 'wira' di kalangan kaum masing-masing.
5. Kesimpulan
Dari perbincangan tersebut, kita boleh mencapai beberapa kesimpulan awal seperti berikut:
1. Isu bahasa bukan unik bagi negara kita, ia merupakan isu sejagat yang dihadapi oleh semua komuniti bahasa bagi negara-negara berbilang etnik/kaum. Justeru, kita harus memperluaskan skop pandangan kita ke komuniti antarabangsa untuk mencari rujukan dan panduan dalam menyelesaikan masalah kita.
2. Kita harus bersikap liberal dan kritis terhadap isu bahasa negara kita, kerana ia merupakan warisan penjajah British dan dasar kerajaan Perikatan/Barisan Nasional yang berasaskan politik perkauman.
3. Semua kaum atau komuniti bahasa mempunyai hak-hak yang sama rata dan tidak boleh didiskriminasikan berasaskan kedudukan politik, ekonomi dan sebagainya, atau atas ukuran tahap bahasa-bahasa terbabit dikodkan, dikemaskini dan dimodenkan atau sebarang ukuran yang lain.
4. Bahasa Melayu hendaklah terus disokong sebagai Bahasa Kebangsaan dalam hubungan ianya merupakan lingua franca atau bahasa perantara rakyat pelbagai kaum di negara kita, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk melaksanakan dasar-dasar diskriminasi atau asimilasi terhadap bahasa-bahasa yang lain.
5. Semua kaum atau komuniti bahasa mempunyai hak untuk menggunakan bahasa mereka secara rasmi, termasuk dalam urusan perundangan dan pentadbiran, dan semua dokumen dan rekod dalam bahasa terbabit adalah sah dan tidak boleh diabaikan. Oleh itu, dasar bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi tunggal bagi negara kita patut dikaji semula.
6. Semua kaum dan komuniti bahasa mempunyai hak untuk memutuskan setakat mana bahasa mereka akan digunakan sebagai bahasa pengantar atau sebagai objek (matapelajaran) pembelajaran dalam semua tahap pendidikan: prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah teknikal dan vokasional, universiti, dan pendidikan dewasa. Oleh itu, matlamat muktamad/akhir sistem pendidikan negara kita agar Bahasa Kebangsaan dijadikan bahasa pengantar utama di semua aliran sekolah hendaklah dikaji semula.
7. Dasar Kebudayaan Negara yang berasaskan tiga prinsip dan cenderung kepada pendekatan assimilasi itu akan mengakibatkan ruang kebudayaan etnik-etnik yang lain diduduki oleh kebudayaan Melayu dan unsur Islam. Oleh itu, ia patut dikaji semula.
8. Dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia yang mempunyai bahasa, agama, kebudayaan dan adat resam yang merencam, pembentukan 'bangsa Malaysia' melalui dasar-dasar bahasa, pendidikan dan kebudayaan negara yang mendiskriminasikan kaum-kaum minoriti dan berpendekatan asimilasi, mungkin antara punca yang menimbulkan ketidakpuasan kaum-kaum yang berasa terancam.
9. Ketegangan hubungan etnik dalam konteks tersebut lebih merupakan ketegangan antara kerajaan dengan kaum-kaum yang berasa terancam dan tertindas oleh dasar-dasar bahasa, pendidikan dan kebudayaan yang mendiskriminasikan kaum-kaum minoriti.
10. Setiap kelompok etnik/kaum mempunyai hak untuk mengekalkan identiti atau hak-hak bahasa dan kebudayaan asalnya. Oleh itu, segala dasar diskriminasi atau asimilasi kerajaan melalui perundangan dan pentadbiran hendaklah diberhentikan dengan segera.

