Wanita warga emas direman lepas disyaki cuba rasuah polis
Seorang wanita warga emas ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung menawarkan wang berjumlah RM28,150 sebagai sogokan kepada anggota polis untuk melepaskan individu yang ditahan.
Majistret Jamaliah Abd Manap mengeluarkan perintah reman ke atas wanita berusia 63 tahun itu bermula hari ini selepas membenarkan permohonan Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) G Jayarah di Mahkamah Majistret George Town.
Wanita itu yang diwakili peguam Zainal Akram Zainal Azahar disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
Semalam, media melaporkan polis menahan seorang wanita warga emas selepas menawarkan wang tunai berjumlah RM28,150 sebagai sogokan untuk melepaskan enam individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran rokok serta arak seludup di Pulau Pinang.
- Bernama

