Kemerdekaan tidak harus didefinasikan sebagai bebas dari cengkaman penjajah semata-mata, tetapi harus merdeka dari setiap aspek kehidupan politik, sosioekonomi, jati diri dan moral, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, kemerdekaan seringkali dihubungkaitkan dengan jati diri bangsa sesebuah negara.

"Jati diri adalah satu komponen penting dalam membentuk indentiti diri. Tanpa jati diri yang kukuh, kita bakal berhadapan dengan tsunami globalisasi yang boleh merobah anak-bangsa kita.

"Justeru, program yang boleh menyerlahkan identiti bangsa perlu dikembang-luaskan. Keadilan menggesa agar aktiviti budaya bangsa tempatan serta warisan murni masyarakat diperturun, diperkaya dan diperkembangkan.

"Hatta, Bahasa Malaysia perlu dikembalikan martabatnya di samping mengembangkan penggunaan bahasa ibunda setiap kaum di dalam negara ini," kata Dr Wan Azizah dalam perutusan hari Kemerdekaan ke-49.

Katanya, adalah menjadi prinsip PKR untuk membina sebuah kerajaan yang bergerak seiring bersama rakyat dalam satu landasan penuh tolak ansur, betul, jujur dalam menguruskan tanggungjawab demi mempertahankan hak dan maruah bangsa dan negara.

"Melalui prinsip tersebut Keadilan membuka pintu kepada seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama dengan perjuangan kami dalam membentuk negara Malaysia yang merdeka, adil dan saksama tanpa batasan kaum dan agama," katanya.

Cabaran ekonomi

Dalam aspek ekonomi pula, tambahnya, negara merdeka harus mampu menyediakan prasarana ekonomi agar kekayaan negara dapat dinikmati dan dikongsi secara adil.

Lantaran itu, katanya, PKR sanggup menyambut cabaran ekonomi dengan memperbetulkan kepincangan dalam pemerintahan hari ini dan memastikan hasil kekayaan negara dapat dinikmati oleh seluruh rakyat secara adil dan saksama.

Dr Wan Azizah juga mengingatkan bahawa dalam menyingkap tabir perjuangan kemerdekaan, fakta sejarah tidak boleh menafikan dan perlu diselidiki secara teliti serta penuh tanggungjawab.

"Justeru, kita tidak boleh memandang sepi, apatah lagi melenyapkan nama-nama besar seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Ahmad Boestaman, Ishak Haji Muhammad serta beberapa pemimpin lain yang turut menyumbang kepada proses kemerdekaan negara.

"Sesungguhnya jasa mereka memerdekakan Malaysia adalah sesuatu yang tidak ternilai harganya," katanya sambil menambah bahawa sambutan tahun kemerdekaan pada tahun ini sangat bermakna kerana hakikatnya sudah hampir setengah abad negara bebas dari penjajahan Barat.

"Tanggungjawab mengisi makna sebenar kemerdekaan terletak pada generasi selepas merdeka dan seharusnya dinilai dari skop penghayatan yang lebih luas. Hari ini kitalah anak cucu dan pewaris sah kepada hak bernegara.

"Oleh itu, sewajarnya setiap di antara kita harus berbangga menjadi "Anak Malaysia" yang benar-benar merdeka serta kasih dan sayang terhadap tanah tumpah darah kita," katanya.