CCIG nafi tidak berperanan selepas dapat geran 'berjuta-juta'
Pengerusi Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG), Jurey Latiff Rosli, menafikan dakwaan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez berhubung dakwaan mereka gagal memainkan peranan sebagai badan pentauliahan penggiat industri kreatif.
Jurey berkata, persatuan itu menjalankan tugas dengan baik sejak ditubuhkan pada 2011 selain memberikan komitmen tinggi memastikan peranannya selari dengan dasar dan hala tuju industri diterajui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
“CCIG ingin membetulkan kenyataan tidak tepat yang mengatakan CCIG gagal memainkan peranan sebagai badan pentauliahan industri kandungan kreatif.
“Untuk makluman, CCIG bekerjasama dengan Finas dalam perkongsian pangkalan data dan kerangka pengiktirafan industri kreatif sejak penubuhannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Freddie mencadangkan Finas mewujudkan badan baru bagi menggantikan CCIG yang didakwanya gagal berfungsi sebagai badan pentauliahan sejak ia diasaskan kira-kira 10 tahun lalu.
Dakwa Freddie, CCIG gagal melakukan akreditasi seperti diharapkan walaupun gabungan itu diberi geran kerajaan berjuta-juta ringgit.
Katanya lagi, badan baru itu boleh dijadikan organisasi induk bagi setiap individu yang ingin mendapatkan akreditasi daripada Finas.
Ia merangkumi pelakon, pengarah, kru filem, jurukamera, penyunting video, pengamal animasi, pemuzik, penyanyi, juruaudio dan sebagainya.
Menurut Jurey, keputusan Finas untuk menjalankan pentauliahan dilihat sebagai tindakan yang tepat memandangkan perbadanan itu mampu menguatkuasakan peraturan dan undang-undang di bawah Akta Finas 1981.
“Bagaimanapun, CCIG berharap apa jua yang dirancang Finas mendapat kerjasama semua pihak demi kebaikan dan masa depan industri yang lebih cemerlang.
“Apa yang penting ialah inisiatif ini tidak sepatutnya menjurus ke arah usaha yang membuang masa dengan penubuhan persatuan atau badan bukan kerajaan yang baru sebaliknya mesti merupakan sebuah badan yang bebas,” katanya.
Pada masa sama, Jurey menyarankan Finas sentiasa merujuk persatuan sedia ada khususnya CCIG yang menyedia dan membangunkan kerangka pengiktirafan industri kreatif yang merangkumi lebih 6,600 ahli.
Untuk rekod, seramai 445 ahli mendapat pentauliahan dan daripada jumlah tersebut seramai 191 merupakan ahli bertauliah profesional.
CCIG juga menjadi satu-satunya persatuan yang diiktiraf oleh badan profesional Malaysian Board of Technologists (MBOT) dan Producers Guild of America (PGA).
Selain itu, Jurey juga berharap apabila Padu Citra diperkukuhkan dengan setiap persatuan diberikan pengkhususan maka persatuan rojak tidak lagi diberikan peranan untuk terlibat bagi memastikan setiap persatuan benar-benar fokus kepada satu bidang pekerjaan saja.
CCIG juga katanya berharap Finas tidak lagi melayan persatuan yang tiada pengkhususan tetapi sentiasa menonjolkan diri sebagai tempat rujukan kepada semua bidang kerja.
“Apa jua pembaharuan dan cadangan untuk industri diharap Finas dapat mengadakan perbincangan bersama pemegang taruh industri bagi memastikan keharmonian dan kerjasama erat dapat diberikan semua pihak,” katanya.

