3,306 kes baru, empat kematian, sembilan kluster baru
Penularan wabak Covid-19 di negara ini terus mencatatkan angka membimbangkan dengan sebanyak 3,306 kes baru dilaporkan setakat tengah hari tadi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menyaksikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini adalah sebanyak 38,791 kes manakala jumlah keseluruhan 161,740 kes.
Daripada jumlah kes baru hari ini, sebanyak 2,198 kes membabitkan warganegara Malaysia dan 1,101 kes adalah bukan warganegara, manakala tujuh lagi merupakan kes import.
Selangor terus merekodkan kes harian baru tertinggi iaitu sebanyak 1,213 kes, diikuti Sabah sebanyak 432 kes dan Johor sebanyak 329 kes.
Negeri-negeri lain adalah seperti berikut :- Kuala Lumpur (250), Kelantan (150), Melaka (156), Pulau Pinang (145), Kedah (142), Negeri Sembilan (126), Perak (114), Sarawak (100), Pahang (84), Terengganu (20), Perlis (16), Putrajaya (15), Labuan (14).
Dr Noor Hisham dalam kenyataan medianya, hari ini berkata, terdapat sembilan kluster baru yang dikenal pasti pada hari ini.
Kluster-kluster berkenaan adalah:
- Kluster Taman Tasik Sungai Chua di Hulu Langat, Selangor. Jumlah kes - 60.
- Kluster Kompleks Segamaha di Kinabatangan, Sabah. Jumlah kes - 58.
- Kluster Jalan Bukit Bendera di Kota Kinabalu, Papar, dan Beaufort di Sabah. Jumlah kes - 20.
- Kluster Jalan Suria di Johor Bahru, Johor. Jumlah kes - 24.
- Kluster Tapak Bina Jalan Nipah di Titiwangsa, Kuala Lumpur. Jumlah kes - 29.
- Kluster Tapak Bina Era Duta di Kepong, Kuala Lumpur. Jumlah kes - 20.
- Kluster Pulau Lima di Pasir Puteh di Kelantan. Jumlah kes -9.
- Kluster Jalan TJ di Seremban, Negeri Sembilan. Jumlah kes - 39.
- Kluster Café Genting di Genting Highlands, Bentong, Pahang. Jumlah kes - 31.
“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 361 kluster, termasuk dua kluster yang tamat pada hari ini di Sabah iaitu Kluster Mesra dan Kluster Samudera.
“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 299 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 81 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini,” katanya.
Kluster-kluster yang pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Muda (217 kes), Kluster Tapak Bina Perdana Avenue (145kes), dan Kluster Tapak Bina Casuarina (76 kes).
Dr Noor Hisham turut memaklumkan empat lagi kematian terbaru, menjadikan jumlah angka korban akibat wabak berkenaan kini adalah sebanyak 605 kes.
Selain itu, seramai 226 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 94 mereka memerlukan bantuan pernafasan.
Dia juga memaklumkan sebanyak 2,293 pesakit sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 122,344 kes atau 75.6 peratus daripada jumlah keseluruhan.

