Dr M berhak bertanding, kata pemimpin BN
Para pemimpin Barisan Nasional (BN) berkata, terpulang kepada anggota Umno bahagian Kubang Pasu untuk memilih atau menolak bekas Presiden parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno November depan.
Para pemimpin Barisan Nasional (BN) berkata, terpulang kepada anggota Umno bahagian Kubang Pasu untuk memilih atau menolak bekas Presiden parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno November depan.
Menurut mereka sebagai ahli Umno, Dr Mahathir berhak menawarkan diri untuk bertanding.
Ketua Umno bahagian Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharum berkata; "Itu hak dia. Sebagai ahli Umno dia berhak memilih sesiapa sahaja sebagai perwakilan atau bertanding sendiri sebagai perwakilan. Tak ada apa yang boleh menghalang Dr Mahathir," katanya. 
"Dr Mahathir telah menyatakan hasrat untuk bertanding dan ahli-ahli Umno akan menentukan nasibnya pada mesyuarat bahagian pada 9 September nanti " katanya kepada wartawan di lobi banguan parlimen hari ini.
Umno bahagian Kubang Pasu diketuai oleh Dr Mahathir sehingga persaraannya dari parti dan kerajaan pada tahun 2003.
Ditanya tentang sentimen ahli-ahli Umno Kubang Pasu terhadap bekas Perdana Menteri itu, Johari (foto kiri) yang merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata;"Saya tidak tahu kerana saya berada di sini (Kuala Lumpur). Tak ada yang luar biasa dengan hasrat Dr Mahathir itu, ia perkara biasa." 
Ditanya kehendaknya samaada beliau mahu melihat Dr Mahathir terpilih sebagai perwakilan atau tidak, beliau menjawab; " Susah nak cakap, saya tak tahu, terpulang kepada para perwakilan.
Johari yang kini menjadi ahli Perlimen Kubang Pasu adalah bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir.
Beliau dilihat mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz petang tadi di ruang rehat bangunan parlimen.
Ketika ditanya apa yang dibincangkan dalam pertemuan itu, Johari hanya berkata; " Kami hanya bersembang biasa sambil minum kopi."
Sementara itu Nazri pula berkata, Umno tidak akan menghalang Dr Mahathir daripada bertanding sebagai perwakilan kerana beliau masih ahli parti itu. 
Bagaimanapun katanya, Pengerusi badan perhubungan Umno negeri yang akan menentukan siapa yang akan berucap di perhimpunan agung nanti.
"Inilah sistem yang diamalkan sejak zaman Dr Mahathir lagi," katanya.
Dua orang pemimpin komponen BN turut sependapat dengan Johari bila diajukan isu berkenaan.
Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata, Dr Mahathir adalah ahli Umno, maka beliau berhak untuk bertanding sebagai perwakilan. 
Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat pula berkata, semua ahli parti patut diberikan peluang dan hak yang sama di bawah perlembagaan parti masing-masing.
Dr Mahathir semalam mengesahkan mahu bertanding menjadi perwakilan bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung Umno November depan. Beliau telah mengisi borang untuk bertanding salah satu dariapada tujuh tempat yang diperuntukkan kepada ahli-ahli Umno bahagian.

