Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kuasa darurat mungkin digunakan untuk mengenakan hukuman lebih berat kepada syarikat yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Menyifatkannya sebagai "kelebihan" pengisytiharan darurat, Ismail berkata proses perundangan biasa untuk meminda akta akan mengambil masa.

"Dulu beberapa kali kerajaan menerima pandangan daripada orang ramai, walaupun kita bersetuju dengan cadangan itu tetapi kami tak dapat selesaikan.

"Sebagai contoh, denda yang terlalu rendah. Bukan kepada individu, tetapi syarikat.

"Dengan adanya proklamasi darurat ini, kita boleh membuat ordinan dan boleh menentukan jumlah untuk dikenakan kepada mereka yang melanggar SOP," katanya ketika sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Misalnya, katanya lagi, ramai menganggap denda RM1,000 kepada kilang yang melanggar SOP sebagai terlalu ringan, dan syarikat besar tidak akan berdepan masalah untuk membayarnya.

Dia juga mendakwa pemilik kelab malam mampu membayar denda sebanyak itu setiap hari dengan keuntungan yang diraih, memandangkan penguatkuasa menahan ratusan pelanggan setiap hari.

"Mungkin selepas ini, kita kenakan jumlah denda yang tinggi atau kita ubah (hukuman dengan mengenakan) penjara dan sebagainya, mungkin ini boleh mengekang tindakan-tindakan yang dilihat secara terbuka melanggar SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan," katanya.

Untuk rekod, SOP wabak Covid-19 dilaksanakan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang menetapkan denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Jika pesalah merupakan syarikat, hukuman akan dikenakan kepada pemegang jawatan seperti pengarah dan pengurus.

[Baca berita asal]