Penularan wabak Covid-19 di negara ini terus mencatatkan angka membimbangkan dengan sebanyak 2,451 kes baru dilaporkan setakat tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menyaksikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini adalah sebanyak 26,185 kes manakala jumlah keseluruhan 133,559 kes.

Daripada jumlah kes baru hari ini, sebanyak 1,858 kes membabitkan warganegara Malaysia dan 588 kes adalah bukan warganegara, manakala lima lagi merupakan kes import.

Selangor merekodkan kes harian baru tertinggi iaitu sebanyak 564 kes (23.0 peratus), diikuti Sabah sebanyak 409 kes (16.7 peratus) dan Negeri Sembilan sebanyak 351 kes (14.3 peratus).

Negeri-negeri lain adalah seperti berikut :- Johor (302), Pulau Pinang (273), Kuala Lumpur (198), Kedah (65), Kelantan (61), Sarawak (55), Malacca (50), Perak (42), Pahang (36), Putrajaya (17), Terengganu (16), Perlis (8) dan Labuan (4)

Sebanyak 327 kes baru yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (291 kes), Kluster Telok Mas (17 kes), Kluster Tembok Gajah (9 kes), Kluster Damai Pelangi (8 kes), Kluster Pagar Siput (1 kes), dan Kluster Tembok Choh (1 kes).

Dr Noor Hisham turut memaklumkan lima lagi kematian terbaru, menjadikan jumlah angka korban akibat wabak berkenaan kini adalah sebanyak 542 kes.

Selain itu, seramai 177 pesakit kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 82 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Lima lagi kluster baru dikenal pasti

Dr Noor Hisham dalam kenyataan medianya, hari ini berkata, terdapat lima kluster baru yang dikenal pasti pada hari ini.

Kluster-kluster berkenaan adalah:

1. Kluster Mikro melibatkan daerah Johor Bahru, Kulai, Pontian, dan Kota Tinggi di Johor sebanyak 97 kes.

2. Kluster Symphony Magazine melibatkan daerah Timur Laut dan Seberang Perai Utara di Pulau Pinan sebanyak 44 kes.

3. Kluster Pasai melibatkan daerah Sibu dan Mukah di Sarawak sebanyak 38 kes.

4. Kluster Teknologi Kesidang melibatkan daerah Melaka Tengah di Melaka sebanyak 18 kes.

5. Kluster Palut melibatkan daerah Dungun di Terengganu melibatkan 10 kes.

"Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 325 kluster, termasuk enam  kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Bukit Gemok, Kluster Erima, Kluster Baloi, Kluster Talang-talang, Kluster View Kolombong, dan Kluster Jalan Kilang. 

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 256 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 58 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini," katanya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan sebanyak 1,401 pesakit sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 106,832 kes atau 80.0 peratus daripada jumlah keseluruhan.