Sering digoda dan mendapat mesej nakal daripada wanita antara pengalaman dihadapi Syazuwan Hassan sepanjang bergelar sebagai pelakon.

Syazuwan bagaimanapun berkata, dia tidak mahu tewas dengan godaan yang hanya akan memberi kesan negatif kepada kerjaya dan kehidupan peribadinya.

"Tidak menafikan, saya sering mendapat mesej nakal dalam sosial media. Saya memang tak layan langsung kerana kebanyakan mesej yang saya dapat, pelik.

"Contohnya, ada wanita yang mengajak saya berjumpa. Saya bertanya berjumpa atas dasar kerja atau apa. Dia kata tidak, sebaliknya ada permintaan mahu mengajak melakukan perkara tidak senonoh," katanya dipetik BH Online.

Katanya, dia berpegang kuat kepada prinsip untuk sentiasa menjaga nama baik dan keluarga supaya tidak terpengaruh dengan godaan yang melalaikan.

"Saya tak kisah jika daripada akaun palsu. Ini kerana ramai yang wujudkan akaun palsu untuk mengacau, tetapi saya dapat mesej daripada pemilik akaun sebenar.

"Kemudiannya, saya membalas dengan teguran, kerana tidak mahu ia berlanjutan," katanya lagi.

Pelakon drama Dia Menantu Rahsia dan Asalkan Dia Bahagia itu berkata, dia perlu bijak menepis godaan supaya namanya tidak terpalit dengan perkara tidak bermoral.

"Nama saya sudah dikenali ramai, jadi sebelum buat apa-apa, lebih baik saya berfikir dahulu. Jika boleh, saya mahu mengelakkan perkara yang tak diingini pada masa akan datang.

"Jujurnya, saya seorang yang berfikir panjang sebab saya tak mahu buat perkara yang memalukan saya dan keluarga. Saya sentiasa beringat menjaga keperibadian.

"Alhamdulillah hingga hari ini, saya tak tewas dan masih ada iman lagi," katanya.

Dalam pada itu, pelakon drama Bidadari Salju itu berkata, dia pernah menerima cadangan beberapa pihak untuk mencipta kontroversi supaya namanya lebih dikenali.

Bagaimanapun, Syazuwan berkata, dia enggan dikenali kerana kontroversi, sebaliknya menerusi hasil kerjanya, meskipun secara perlahan-lahan.

"Ada rakan dalam industri yang menyarankan mencipta kontroversi untuk menaikkan nama.

"Saya tak gemar nama saya popular disebabkan kontroversi. Saya mahu orang kenal menerusi hasil kerja. Jadi, untuk saya sengaja cipta kontroversi menaikkan nam, itu bukan saya," katanya lagi.