Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) akan menjadikan isu murtad dan cabaran terhadap umat Islam di negara ini sebagai usul utama dalam muktamar senawinya yang ke-35 Ahad ini.

Menurut Setiausaha Agungnya, Khairul Ariffin Mohd Munir, Abim memandang serius cabaran yang dihadapi umat Islam kebelakangan ini dan akan membuat satu resolusi serta ketetapan untuk diajukan kepada kerajaan.

"Walaupun Perdana Menteri dan kerajaan telah meminta perbincangan mengenai isu murtad dan kedudukan Islam dalam perlembagaan dihentikan, namun Abim merasakan tidak salah isu ini dibincangkan secara harmoni.

"Kita mahu membincangkannya secara akademik dan intelektual, bukannya membawa unsur-unsur provokasi,"jelasnya kepada malaysiakini.

Bulan lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua pihak terbabit menghentikan perbincangan terbuka mengenai isu murtad dan kedudukan Islam dalam perlembagaan negara.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Gabungan Artikel 11 dan Persatuan Pembela Islam (Pembela) telah mengadakan dialog dan perhimpunan bagi membincangkan isu keagamaan ini.

Khairul menambah, selain usul agama itu, usul antarabangsa, pendidikan dan sosial juga akan dibahaskan.

"Kita akan membincangkan masalah di Asia Barat, terutama krisis Palestin dan Lebanon. Usul pendidikan pula menumpukan pada usaha-usaha memperkasakan lagi sistem pendidikan negara,"jelasnya.

Forum isu semasa

Muktamar kali ini juga katanya, akan membahaskan isu sosial, membabitkan masalah dadah dan institusi keluarga.

"Kami mahu menekankan kepada keperluan pengukuhan institusi keluarga sebagai salah satu jalan paling berkesan untuk menyelesaikan gejala sosial yang menghantui generasi muda sekarang," ujar beliau lagi.

Dijangkakan 600 hingga 800 delegasi Abim dari seluruh negara akan menghadiri muktamar ini.

Ia akan dirasmikan pada jam 9 pagi oleh Presiden Abim, Yusri Mohamad (foto). Ini merupakan muktamar sulung Yusri selaku Presiden Abim setelah menjawat tersebut pada tahun lalu.

Selain muktamar tersebut, Abim akan juga menganjurkan Seminar Islam dan Cabaran Semasa pada sebelah siang hari Sabtu dan forum isu semasa pada sebelah malamnya.

Antara tokoh yang akan membentangkan kertaskerja di seminar tersebut ialah Syeikh Dr Gibril Fouad Haddad (seorang sarjana dan pemikir Islam), Prof Dr Shafi Safar Al-Hairi dari Universiti Qatar, Mehrun Siraj (bekas pensyarah undang-undang dan pesuruhjaya Suhakam) dan Dr Farish Noor dari Institut Kajian Oriental Berlin.

Forum pada sebelah malamnya mengundang dua bekas Presiden Abim, Prof Datuk Dr Sidik Fadil dan Dr Mohamad Nor Manuty serta Yusri sebagai ahli panelnya.