Walaupun ekonomi negara pada masa ini agak baik, tetapi bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh menyuarakan kebimbangannya terhadap ketidakmampuan kerajaan menangani kelembapan pasaran saham, pertambahan graduan yang menganggur serta membawa masuk pelaburan asing yang baru.

"Mereka di pasaran resah kerana tidak ada apa yang berlalu," kata pemimpin Umno berusia 69 tahun itu dalam wawancara dengan malaysiakini di kediamannya minggu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengambil alih pentadbiran negara daripada Tun Dr Mahathir Mohamad tiga tahun lalu, juga memegang jawatan Menteri Kewangan.

Ujian utama pertama dasar ekonomi Abdullah adala Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) yang diumumkannya Mac lalu, tetapi Razaleigh yang juga merupakan Ahli Parlimen Gua Musang berkata harapan yang tinggi sebelum ini, terhadap rancangan lima tahun itu, mulai merosot.

"Walaupun Perdana Menteri mengumumkan sejumlah projek yang akan dilaksanakan tidak lama lagi yang bernilai kira-kira RM50 bilion tetapi semuanya akan ditender dan (oleh itu) tidak akan dapat dimulakan dalam tempoh tiga bulan akan datang atau lebih. Dengan mengambilkira harapan tinggi rakyat itu, nampaknya mereka agak kecewa," katanya.

Graduan menganggur

Tengku Razaleigh juga berkata, prestasi bursa saham juga tidak memuaskan.

"Mereka kata (para pelabur) cuba mencari tempat pelaburan lain yang lebih selamat. Itu amat membimbangkan kerana kita perlukan wang. Tidak banyak yang yang dilaburkandi rantau ini. (Apatah lagi dengan adanya) pesaing-pesaing besar seperti China, Vietnam, Singapura ini tidak membantu," katanya.

Menurutnya, industri elektronik di negara ini juga tidak menarik pelaburan baru asing manakala sektor pertanian yang sedang dipromosi oleh Abdullah juga lambat bermula.

Pemimpin veteran Umno itu juga menyuarakan kebimbangannya terhadap peningkatan kadar pengangguran di kalangan graduan universiti yang mencecah 60,000 orang kerana kerajaan tidak melakukan secukupnya untuk mewujudkan pekerjaan baru.

Tengku Razaleigh menegaskan, keadaan ekonomi sekarang adalah baik dan menegaskan bahawa kerajaan harus memanfaatkan sepenuhnya keadaan tersebut.

"Ekonomi kita adalah kukuh, fundamental juga baik, jika tidak manakan kita boleh mendapat lebihan perdagangan berjumlah berbilion ringgit. Tetapi jika kita terlalu bergantung kepada simpanan tabungan seperti KWSP (Kumpulan Simpanan Wang Pekerja), akhirnya kita akan berdepan dengan masalah.

"Jika kita kukuh di segi fundamentalnya, mengapa kita tidak membuat pinjaman? Kita mempunyai taraf kredit yang baik. Kita boleh membuat pinjaman dengan syarat kita menggunakannya untuk membiayai projek-projek yang produktif. Ia boleh memberi pulangan, bukan dalam dollar dan ringgit, tetapi lebih ramai graduan," tegasnya.

Projek mega

Tengku Razaleigh juga menggesa kerajaan supaya menimbang semula beberapa mega projek seperti cadangan projek keretapi laju dan projek pembangunan ekonomi wilayah Johor Selatan (SJER) yang diilhamkan oleh Abdullah.

Katanya, projek keretapi laju itu lebih menguntungkan Singapura daripada Malaysia kerana ia akan menggalakkan penduduk tempatan melawat ke republik tersebut memandangkan dua kasino baru dirancang dibina di sana.

Mengenai projek SJER pula, yang akan dilaksanakan oleh syarikat pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd, Tengku Razaleigh bertanya-tanya sama ada kerajaan telah mengambil langkah yang betul memandangkan Khazanah ditubuhkan untuk menyelia pelaburan kerajaan.

"Kita rasa Khazanah sepatutnya menghadkan fungsinya kepada pengurusan pelaburan kerajaan yang sedia ada, daripada membabitkan diri dalam bidang baru seperti mengendalikan projek besar seperti itu," tegasnya.

Sementara itu, beliau juga menggesa Abdullah supaya menghapuskan undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan meminta Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diberi kuasa menahan tanpa dibicarakan.

Beliau berpandangan, penghapusan OSA merupakan cara terbaik untuk memerangi rasuah. Berita asal

Bhgn 1 Ku Li: Adakan perhimpunan khas Umno untuk Dr M

Bhgn 2 Razaleigh: Dua pilihan untuk Anwar jadi PM

Foto oleh Kuek Ser Kuang Keng