Seorang ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff, 53, dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Bharu atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap empat orang termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa pada 28 Julai lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut pada kira-kira jam 11 pagi mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, dengan menyembur bahan berbahaya dengan menggunakan alat penyembur, iaitu bahan yang berbahaya kepada tubuh badan apabila dihidu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Tiga lagi yang menjadi mangsa ialah bekas anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, Mohd Nasir Muda dan Suberi Sahidan.

Menurut laporan Bernama, pertuduhan itu dibacakan bersama empat pertuduhan lain dengan kesalahan yang sama di tempat dan pada tarikh dan waktu yang sama masing-masing terhadap Ibrahim, Mohd Nasir, Suberi dan Dr Mahathir.

Nik Sapeia yang diwakili dua peguam iaitu Zainal Abidin Mustaffa dan Ilias Md Nor memohon dibicarakan kerana pertuduhan itu. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Shahidani Abd Aziz.

Dibenar ikatjamin

Majistret, Tengku Amalin A'ishah Putri, iaitu anakanda Sultan Kelantan, menetapkan 22 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Tengku Amalin A'ishah Putri kemudian membenarkan Nik Sapeia dibebaskan dengan jaminan RM8,500. Sebelum itu, peguambela Zainal Abidin memohon jaminan itu dikurangkan memandangkan ia merupakan kes saman sahaja.

Nik Sapeia beredar dari kawasan kompleks mahkamah selepas menjelaskan wang jaminan, dengan kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam pada kira-kira jam 5 petang.

Kes itu mendapat perhatian ramai. Malahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang turut terkejut dengan peristiwa itu mengarahkan polis menjalankan siasatan segera.

Berikutan itu, Nik Sapeia ditahan reman selama empat hari, sehari selepas insiden tersebut.

Terdahulu, wartawan dan orang ramai menunggu kehadiran Nik Sapeia di kompleks itu sejak pagi tadi terutama selepas akhbar melaporkan bahawa dia akan didakwa hari ini.

Nik Sapeia, bersut hitam tanpa tali leher, akhirnya tiba di mahkamah itu pada pukul 3.50 petang sambil diiringi oleh kedua-dua peguamnya serta isteri dan dua orang anaknya.