Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan Pemuda Umno jangan bercakap besar mahu memboikot barangan keluaran Amerika Syarikat dan Britain.

Beliau mahu mana-mana pihak yang bercadang berbuat demikian berfikir panjang sebelum melaksanakannya kerana ia akan membawa kesan buruk kepada negara.

"Kita jangan cakap besar kerana bila hendak melaksanakannya kita akan menjadi teruk, terpaksa berpatah balik, kerana ini akan membebankan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Univeristi Darul Iman Malaysia (UDM) di Kampung Tembila di Besut, Terengganu semalam.

Jumaat lalu Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang juga menantu beliau mencadangkan supaya dipulau barangan dan syarikat-syarikat Amerika dan Britain sebagai bantahan terhadap tindakan kedua-adua negara menyokong kekejaman regim Zionis Israel di Lubnan.

Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata, pihak yang mahu memboikot barangan dari kedua-dua negara itu perlu difikir semasak-masaknya kerana masalah yang akan dihadapi di kemudian hari adalah rumit.

Beliau berkata isu itu lagi pun akan dibawa pada persidangan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang dijangka dihadiri beberapa negara yang juga menganggotai Jawatankuasa Makkah, di Kuala Lumpur, Khamis ini.

Abdullah berkata persidangan itu akan memberi tumpuan utama kepada persediaan untuk mengambil bahagian menghantar tentera Malaysia dan negara anggota OIC lain ke Lubnan sebaik gencatan senjata diadakan.

"Selain hendak memberi tekanan, kita akan terus mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan dengan segera di Lubnan," katanya.

Abdullah berkata keganasan Israel terus berleluasa disebabkan gencatan senjata tidak dapat dipercepatkan walaupun beberapa usaha telah dibuat.


"Inilah yang paling mendukacitakan kerana selagi gencatan senjata tidak dapat dikuatkuasakan, selama itulah kebiadapan Israel berterusan dan menyebabkan lebih ramai orang awam di Lubnan terbunuh dan infrastruktur di negara itu dimusnahkan," katanya.

Abdullah berkata lebih menghampakan, sesi khas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini pun tidak mencapai apa-apa kerana Amerika tidak menyokongnya sebaliknya menghantar senjata kepada Israel yang menyebabkan Israel terus mengganas.