PM perjelas larangan mainkan isu sensitif
Perdana Menteri hari ini menjelaskan bahawa saranan supaya semua pihak, termasuk media, berhenti membincangkan isu sensitif berkaitan agama dan kaum, adalah bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini.
Perdana Menteri hari ini menjelaskan bahawa saranan supaya semua pihak, termasuk media, berhenti membincangkan isu sensitif berkaitan agama dan kaum, adalah bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini.
Ia juga, tegas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bagi mengelakkan tindakan kerajaan ke atas mereka yang terlibat.
"Saya mulakan kenyataan saya itu agar kita semua dapat fahami iaitu kalau kita mainkan isu sensitif seperti agama, ia akan membawa situasi yang tidak disenangi.
"Ini mungkin akan turut memaksa kerajaan mengambil tindakan. Ini yang kita bimbang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Pengguna 2006 di Stadium Putra di Bukit Jalil di Kuala Lumpur Khamis.
Menurut laporan Bernama, Abdullah tidak menyatakan bentuk tindakan yang bakal diambil.
Dalam mesyuarat Kabinet semalam, Perdana Menteri dilaporkan telah mengarahkan agar semua pihak menghentikan isu-isu yang boleh menimbulkan ketegangan dan kegelisahan rakyat, terutama yang menyentuh pegangan agama dan sesuatu kaum.
Sebelum ini, beliau telah mengeluarkan kenyataan serupa kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Selasa lalu.
Kenyataan itu dikeluarkan apabila terdapat pihak yang kini mempertikaikan kebebasan beragama di negara ini dan kedudukan agama Islam serta bidangkuasa Mahkamah Syariah di dalam Perlembagaan Persekutuan.

