Seorang Ahli Parlimen pembangkang berkata harga kereta nasional masih tinggi walaupun harga kereta import telah diturunkan berikutan kenaikan kadar faedah pinjaman bank.

Chow Kon Yow (DAP-Tanjong) berkata sebelum kadar faedah pinjaman kenderaan adalah dalam lingkungan 4 peratus.

Bagaimanapun, katanya, setelah dasar automobil nasional (NAP) diperkenalkan kadar faedah tersebut telah meningkat mencecah 10 peratus.

Mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), beliau berkata, jika ia dilaksanakan ekonomi negara akan bermasalah kerana pemindahan tenologi luar tidak dapat dilakukan.

"FTA seperti penjajahan ekonomi negara maju terhadap negara kita," katanya Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Chong Eng (DAP- Bukit Mertajam) pula berkata, beliau kecewa dengan pembentangan Rang Undang-undang Pelindung oleh Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa tanpa mengadakan rundingan awam dengan pihak yang berkepentingan.

Katanya, ahli Parlimen sepatutnya diberi penerangan secukupnya kerana mereka boleh menyampaikannya kepada pihak yang terlibat dengan industri pertanian.

Risiko persaingan sengit

"Apa yang pasti, perlaksanaan undang-undang ini akan menyebabkan golongan petani terdedah kepada risiko persaingan sengit apabila pasaran makanan Malaysia dibuka kepada pengusaha luar," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu, beliau juga meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menyenaraikan sektor industri yang masih lemah dan kurang berdaya saing untuk tindakan lanjut.

Chong juga mengingatkan bahawa FTA dengan Amerika Syarikat dan Australia yang kini dalam peringkat rundingan akhir, akan memberi kesan besar terhadap industri domestik.

Pada 8 Mac lalu, Malaysia dan Amerika Syarikat telah mengumumkan keinginan untuk mengadakan rundingan dua hala mengenai FTA.

Chong berkata, rundingan ini meliputi banyak sektor dan industri tempatan yang mempunyai kepentingan yang amat besar terhadap rakyat Malaysia, termasuk sektor pekerjaan, makanan, pembangunan industri domestik dan sektor perkhidmatan.