Satu majlis bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka diadakan di Kota Bharu, Kelantan pada 28 Julai ini, namun kemungkinan besar ia tidak akan menjadi kenyataan berikutan perkembangan mutakhir politik tanahair.

Difahamkan majlis tersebut pada awalnya mahu di anjurkan oleh Persatuan Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) cawangan Kelantan di sebuah hotel di bandar tersebut.

Namun menurut sumber, Mubarak telah menarik diri daripada menganjurkan majlis itu dan ini menjadikan 'status' majlis itu terumbang-ambing sama ada diteruskan oleh penganjur lain atau dibatalkan terus.

Mubarak dikatakan menarik diri kerana tidak mahu disalahanggap sebagai menyokong Dr Mahathir dalam krisis antara kedua-dua pemimpin negara itu.

"Tujuan kita menganjurkan majlis ini tiada kena mengenai dengan krisis Tun dengan Pak Lah. Jemputan kepada Dr Mahathir telah dihantar lebih sebulan yang lalu, sebelum meletus krisis antara kedua-dua mereka.

"Kita mengambil keputusan menarik diri bagi mengelak sebarang kekeliruan atau menghangatkan lagi krisis antara kedua-dua pemimpin negara itu," kata seorang bekas wakil rakyat Barisan Nasional Kelantan yang menganggotai Mubarak.

Menurut sumber berkenaan, ada pihak lain berminat untuk mengambil alih pengajunran majlis tersebut tetapi belum dapat disahkan setakat ini.

Program jelajah negara?

Berita kunjungan Dr Mahathir ke Kota Bharu itu hangat diperkatakan di ibunegara kebelakangan ini kerana ia dianggap sebagai permulaan kepada program jelajah negara Dr Mahathir bagi meneruskan kritikannya terhadap kerajaan.

Dr Mahathir kini sedang bercuti di Turki bersama keluarganya. Beliau berlepas 2 Julai lalu dan dijangka pulang pada 20 Julai ini.

Sementara itu, sumber-sumber yang rapat dengan Dr Mahathir pula mengesahkan ada menerima undangan dari Mubarak.

"Benar ada undangan untuk Tun ke satu majlis di Kelantan pada 28 Julai. Undangan itu kita terima lebih sebulan yang lalu. Tetapi saya sendiri tidak pasti statusnya sekarang," ujarnya.

Bagaimanapun, menurutnya, majlis itu tiada kena mengena dengan perkembangan politik negara ketika ini.

Menurutnya, cadangan ke Kota Bharu itu juga bukan satu siri "roadshow" Dr Mahathir bagi menjelaskan kritikannya terhadap kerajaan sekarang.

"Tidak ada sebarang 'roadshow' untuk Tun, itu semua hanya spekulasi dan imiginasi pihak tertentu sahaja," jelasnya.