Singapore Press Holdings minta maaf pada Kalimullah
Singapore Press Holdings Limited, penerbit akhbar Straits Times , meminta maaf kepada ahli perniagaan Datuk Kalimullah Hassan berhubung artikel yang disiarkan akhbar itu bulan lalu yang mengandungi pelbagai dakwaan terhadap beliau.
Singapore Press Holdings Limited, penerbit akhbar Straits Times, meminta maaf kepada ahli perniagaan Datuk Kalimullah Hassan berhubung artikel yang disiarkan akhbar itu bulan lalu yang mengandungi pelbagai dakwaan terhadap beliau.
Artikel bertajuk "Mahathir loyalist blasts Abdullah's supporters" itu disiarkan pada 14 Jun.
"Dakwaan itu dibuat Encik Matthias Chang pada satu sidang akhbar yang diadakannya (Chang) pada 13 Jun 2006 dan dilaporkan dengan tepat oleh kami dalam artikel itu.
"Kami ingin menjelaskan bahawa kami tidak, dalam apa cara sekalipun menyokong atau mengesahkan dakwaan yang dibuat terhadap Datuk Kalimullah.
"Kami juga mengakui bahawa kami tidak mempunyai asas untuk membuat dakwaan itu," kata SPH dalam permohonan maafnya yang disiarkan Straits Times hari ini.
"Kami memohon maaf sepenuhnya kepada Datuk Kalimullah bagi sebarang perasaan sedih, malu dan penghinaan yang dirasainya akibat daripada artikel itu. Kami berjanji tidak akan menyiarkan ada-apa dakwaan lagi terhadap Datuk Kalimullah yang membawa kesan serupa," katanya.
Menurut laporan Bernama, srtikel itu antara lain melaporkan kenyataan peguam Matthias Chang, bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, yang ditujukan antara lain terhadap Kalimullah, yang juga timbalan pengerusi New Straits Times Press, Malaysia.
Saman Matthias
Sementara itu, Star online melaporkan Kalimullah juga menfailkan saman terhadap Matthias hari ini berhubung kenyataannnya dalam satu sidang akhbar bulan lalu.
Saman tersebut difailkan melalui firma guaman Isharidah, Ho, Chong & Menon.
Satu perintah mahkamah juga diperolehi dari Mahkamah Tinggi hari ini untuk menghalang Matthias daripada terus bercakap atau menerbitkan kenyataan tersebut.
Dalam sidang akhbar tersebut, yang hanya dihadiri oleh akhbar berbahasa Cina dan wartawan asing, Matthias mencabar untuk berdebat dengan Kalimullah dan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin yang juga Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia berhubung isu-isu kontroversi yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

