Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Mohd Salleh membidas Parti Bersatu Sabah (PBS) kerana tidak sudah-sudah menyalahkan kerajaan berhubung dakwaan pengeluaran kad pengenalan kepada ribuan penduduk di negeri itu berdasarkan surat akuan dan sijil pendaftaran lewat kelahiran.

Dengan mempersoalkan perkara tersebut, katanya, parti kaum kadazah-dusun itu pimpinan seorang lagi bekas Ketua Menteri, Datuk Joseph Pairin Kitingan, juga turut mempersoalkan kesahihan ramai penduduk kawasan pedalaman Sabah yang memperolehi kad pengenalan mereka menggunakan surat akuan dan pendaftaran lewat kelahiran.

Penduduk pedalaman Sabah yang dimaksudkan oleh Harris itu, biasanya merujuk kepada
kaum Kadazandusun-Murut yang beragama Kristian, yang bersama-sama kaum Cina dan kaum-kaum lain, menyokong PBS pada 1985 dan berjaya menewaskan kerajaan negeri pimpinan Harris.

Berikutan itu, Pairan dan Haris yang menjadi ketua menteri pada 1976 menggantikan Tun Fuad Stephen berseteru hingga ke hari ini.

Tidak adil

Dalam satu kenyataannya sebagai Pengerusi Yayasan Islam Sabah (YIS), Harris berkata adalah tidak adil bagi PBS membuat "dakwaan tidak berasas' terhadap kerajaan pusat.

Berikutan itu, beliau menggesa kerajaan pusat supaya memperjelaskan isu tersebut.

Khamis lalu, Pairin, yang merupakan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kemajuan Luar Bandar, berkata isu tersebut telah menjadi agenda utama kerajaan di peringkat negeri dan pusat.

Beliau mengalu-alukan penubuhan jawatan kabinet persekutuan, yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk menyiasat perkara tersebut dan juga kenyataan Timbalan Ketua Polis Negera, Datuk Musa Hassan bahawa siasatan sudah dijalankan.

Beberapa badan bukan kerajaan, termasuk Persatuan Pengguna Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (Cash), mendesak kerajaan supaya membatalkan kad pengenalan tulen yang dikeluarkan kepada rakyat asing, sebahagian besarnya dari Filipina dan Indonesia, sejak lebih tiga dekad yang lalu.


Anggota Majlis Tertinggi PBS yang juga bekas Senator, Dr Chong Eng Leong memberitahu Jawatankuasa Integriti di Kota Kinabalu bulan lalu, bahawa kira-kira 1.8 juta rakyat asing didakwa telah memperolehi kad pengenalan dan menjadi rakyat Sabah melalui 'cara yang meragukan'.

'Mengelak isu sebenar'

Dalam ucapannya di mesyuarat agung sebuah bahagian PBS minggu lalu, Pairin berkata, pihak pembangkang cuba memenangi hari rakyat dengan mendakwa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) telah gagal atau tidak bersedia untuk membangkit isu tersebut di Parlimen.

Sebaliknya, kata Presiden PBS itu, ahli-ahli Parlimen parti berkenaan telah berulangkali membangkitkan masalah tersebut.

"PBS akan terus membangkitkan isu pendatang haram di Sabah seperti kewujudan 'pengundi hantu', pemalsuan kad pengenalan dan pemilikan kad pengenalan melalui cara yang meragukan," katanya.

Bagaimanapun, Harris berkata, surat akuan itu mengakhir penantian bertahun-tahun lamanya di kalangan majoriti rakyat Sabah di kawasan pedalaman serta kawasan luar bandar untuk mendapat kad pengenalan dan surat beranak masing-masing.

"Pada awalnya, mereka tidak mempunyai surat beranak asal dan oleh itu satu-satu dokumen untuk membuktikan mereka dilahirkan di Sabah adalah surat akuan tersebut," katanya.

Harris, yang menjadi ketua menteri Sabah selama hampir satu dekad sehingga ditewaskan oleh PBS berkata, dakwaan pemimpin PBS dan yang lain-lain mengenai isu tersebut adalah 'amat serius dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia,'.

Ketika diminta mengulas perkara itu, aktivis dari Sabah, Patrick Sindu mendakwa bahawa dengan menyebut orang pedalaman, Harris sengaja cuba mengelak isu sebenarnya.

Patrik mendakwa, Harris adalah antara mereka yang didakwa bersama( bekas Perdana Menteri Tun) Dr Mahathir Mohamad memberi kad pengenalan kepada rakyat asing selepas beberapa bulan sahaja berada di negara ini.

Kadazandusun-Murut adalah kaum asli di Sabah dan nenek moyang sudah lama menetap di negara ini, malah sebelum penubuhan Malaysia.

"Di sini kita bercakap mengenai kad pengenalan tulen yang dikeluarkan kepada rakyat asing yang baru tiba semalam,dan motifnya begitu jelas sekali," tambahnya.

Sindu juga mengetuai kempen mengutip tandatangan untuk meminta Yang di-Pertuan Agung menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas diraja untuk menyiasat masalah kehadiran rakyat asing di Sabah.