Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin sekali lagi menemui Tun Dr Mahathir Mohamad Jumaat lalu dan bekas Perdana Menteri itu telah menyuarakan persetujuannya untuk menemui "orang tengah" bagi menjernihkan hubungannya dengan kepimpinan negara sekararang.

Zainuddin berkata beliau menemuai Dr Mahathir di kediaman bekas Perdana Menteri itu semalam.

"Saya menyatakan kepada Dr Mahathir bahawa adalah sukar untuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menemuinya secara persendirian kerana Tun telah menampakkan sikap tidak senang sebelum ini terhadap Perdana Menteri," katanya.

Zainuddin berkata, dalam pertemuan itu beliau menyatakan adalah perlu untuk orang tengah menemui Tun terlebih dahulu, dalam usaha untuk menyelesaikan masalah sekarang.

Menurut laporan Bernama, Menteri Penerangan itu berkata, dalam pertemuan tersebut, beliau turut menyebut nama orang tengah berkenaan.

Perlu diselesai segera

"Dr Mahathir bersetuju menerima orang tengah yang saya sebutkan namanya sebagai orang yang Tun sayangi," kata Zainuddin tanpa mendedahkan nama individu berkenaan.

Semalam, Zainuddin berkata penyelesaian masalah itu adalah sesuai dengan semangat dan hasrat akar umbi Umno di seluruh negara yang bimbang dengan perkembangan yang berlaku.

Selain itu, beberapa pemimpin dan bahagian Umno di seluruh negara juga melahirkan hasrat supaya Majlis Tertinggi (MT) Umno menyelesaikannya secara berhemah.

Mereka juga mahu MT menyelesaiknanya dengan cepat supaya tidak diambil kesempatan oleh mana-mana pihak untuk menimbulkan keadaan negatif.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, dalam kenyataannya semalam juga optimis masalah antara Dr Mahathir dan Perdana Menteri boleh diselesaikan dengan bijaksana, asalkan tidak wujud anasir luar.