Kerajaan tidak bercadang untuk merombak keseluruhan Sistem Saraan Baru (SSB) kakitangan awam yang sedia ada, tetapi bersetuju agar unsur-unsur dalaman sistem itu dikaji semula untuk menangani kelemahan yang ada.

"Oleh itu satu jawatankuasa kajian untuk pembaikan SSB telah ditubuhkan untuk mengkaji kelemahan yang sering dibangkitkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)," kata Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Khamsiyah Yeop di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, jawatankuasa itu akan menyediakan cadangan pengubahsuaian yang diperlukan dalam sistem saraan itu untuk pertimbangan kerajaan.

Menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Khamsiyah berkata antara perkara yang akan dikaji semula ialah mengenai pergerakan gaji berperingkat kakitangan awam melalui Jadual Gaji Merit (JGM) yang sedia ada.

Selain itu menurutnya, unsur pergerakan gaji menegak dan melintang yang dibuat hanya berasaskan nilai kepercayaan semata-mata dan oleh itu kaedah peluang kenaikan pangkat akan turut dikaji semula.

Katanya, insentif prestasi kecemerlangan melalui anugerah khidmat cemerlang juga akan dikaji agar ia tidak dikaitkan dengan pergerakan gaji tahunan kakitangan awam.

"Kerajaan sememangnya menyedari beberapa kelemahan dalam SSB, sebab itu kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan semua persatuan dan individu perkhidmatan awam yang ada," katanya.

Memorandum

Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk mengkaji pelaksanaan SSB berikutan terdapat banyak bantahan mengenainya.

April lalu, CUEPACS telah menyerahkan memorandum berhubung sistem gaji alternatif menggantikan SSB kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Presiden CUEPACS, N Siva Subramaniam sebelum ini berkata, SSB harus digantikan dengan sistem lain yang lebih realistik serta mampu memberi faedah kepada kedua-dua pihak, iaitu pekerja dan kerajaan, dan menganggap pelaksanaan sistem itu tidak lagi sesuai.