Pengkalan Pasir: Petisyen PAS ditolak
Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolak petisyen PAS mencabar keputusan pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Pengkalan Pasir yang dimenangi Barisan Nasional pada 6 Disember tahun lalu.
Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolak petisyen PAS mencabar keputusan pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Pengkalan Pasir yang dimenangi Barisan Nasional pada 6 Disember tahun lalu.
Hakim Datuk Hasan Che Lah, ketika membacakan keputusannya, menolak semua dakwaan dalam petisyen yang dikemukakan pada 4 Januari lalu.
Dengan itu, Bernama melaporkan Hasan berkata, calon BN, Hanafi Mamat kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan tersebut.
Dalam pilihanraya kecil itu, Hanafi memperolehi 7,422 undi mengalahkan calon PAS Hanifa Ahmad yang mendapat 7,288 undi dan calon bebas Datuk Ibrahim Ali, yang menerima 414 undi. Sebelum itu, kawasan berkenaan diwakili PAS.
PAS, melalui seorang pengundi berdaftar di kawasan Pengkalan Pasir, Mohd Ridza Zain, yang juga Setiausaha Pemuda PAS negeri, memfailkan petisyen berkenaan dengan menamakan Hanafi sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihanraya Kecil Pengkalan Pasir, Abdul Halim Ahmad responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) responden ketiga.
Dalam penghakimannya setebal 46 muka surat dan mengambil masa satu jam untuk dibaca, Hasan berkata PAS telah gagal membuktikan ia mempunyai locus standi untuk memfailkan petisyen berkenaan manakala wang RM150, yang didakwa diberikan oleh ejen Hanafi kepada seorang pengundi PAS, tidak cukup untuk membuktikan berlakunya perbuatan rasuah.
Bagi dakwaan penyamaran pula, parti itu gagal membuktikan ada orang lain yang mengundi bagi tiga pengundi berdaftar di kawasan itu, iaitu Fatimah Mahmood, Yusuf Harun dan Zainab Jusoh, selain gagal mengaitkan Hanafi atau ejennya telah melanggar Seksyen 32 (c) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
Mengenai tuduhan bahawa waris tidak dibenarkan mengundi bagi pihak pengundi yang uzur, Hasan berkata, tiada bukti menunjukkan pengundi uzur berkenaan tidak mengundi.
Tolak dengan kos
"Berdasarkan kepada alasan di atas, saya menolak petisyen ini dengan kos, selaras dengan peruntukan Seksyen 36 akta tersebut (Akta Kesalahan pilihan Raya 1954). Saya memutuskan bahawa responden pertama telah dilapor pilih dengan sewajarnya," katanya.
Hasan juga mengarahkan supaya dokumen yang dikemukakan oleh SPR kepada Timbalan Pendaftar supaya diserahkan kembali kepada SPR. Sepanjang perbicaraan, PAS mengemukakan 22 saksi dan responden 18 saksi.
PAS melantik 11 peguam dengan diketuai oleh Mohamad Ariff Yusof manakala responden diwakili 10 peguam diketuai Tan Sri Zaki Azmi. Responden kedua dan ketiga diwakili tiga Peguam Kanan Persekutuan diketuai Azizah Nawawi.
Pilihanraya kecil Pengkalan Pasir diadakan berikutan kematian Wan Abdul Aziz Wan Jaafar dari PAS akibat kanser hati pada 31 Oktober tahun lalu.
Peguam PAS Zulqarnain Lukman, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata pihaknya menunggu arahan daripada Mohd Ridza sama ada untuk memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya.
Beliau berkata, pihak pempetisyen berhak mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 14 hari.
Hanafi pula berkata beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah hari ini.
"Hakim juga telah memaklumkan mahkamah akan mengeluarkan satu sijil untuk mengesahkan saya sebagai anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir yang sah dan telah dipilih melalui proses pilihanraya kecil," katanya.
Mohd Ridza dan beberapa pemimpin PAS, yang sebelum ini sering datang untuk mengikuti perbicaraan, bagaimanapun tidak kelihatan di mahkamah hari ini.

