Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo boleh menjawab dakwaan salahguna kuasa terhadapnya secara terbuka atau membuat laporan polis jika ia tidak betul, kata aktivis media Ahmad Lutfi Othman.

"Saya cabar beliau menjawab secara terbuka (dakwaan itu) melalui Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor atau beliau boleh membuat laporan kepada polis jika dakwaan-dakwaan yang dikemukakan itu tidak betul," kata Ahmad Lutfi.

"Isu ini sudah menjadi bualan umum dan beliau seolah-olah mencari helah untuk tidak menjawab atau beri penjelasan," tambahnya kepada malaysiakini.

Selasa lalu, Ahmad Lutfi menyerahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) satu laporan mengenai empat dakwaan bahawa Mohd Khir telah menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri besar.

Menurut laporan itu, Mohd Khir didakwa menyerahkan pengendalian projek pembinaan jalanraya sepanjang 20.5km bernilai RM92.5 juta di Sekinchan kepada sebuah "syarikat bermasalah" dan meluluskan permohonan tanah di Shah Alam kepada empat syarikat yang mempunyai pengarah yang sama.

Laporan itu mendakwa, setiap syarikat berkenaan mendapat 100 ekar dan seorang individu yang sama, menjadi pengarah dalam kesemua empat syarikat itu, manakala tiga individu lagi menjadi pengarah kepada dua syarikat terbabit.

Lutfi dalam laporannya juga mempertikaikan pemberian tanah negeri kepada empat syarikat, masing-masing memperolehi kira-kira 50 ekar, di mana pengarah setiap syarikat berkenaan, berumur 20 hingga 23 tahun.

Usul tergempar

Bagaimanapun menurut Ahmad Lutfi hari ini, cabaran pertamanya supaya menteri besar menjawab dakwaannya secara terbuka telah ditolak apabila sidang DUN menolak usul tergempar mengenainya yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bandar Klang Teng Cham Kim.

Dalam sidang DUN pagi tadi, Teng yang juga Ketua Pemuda DAP, mengemukakan usul tergempar untuk membincangkan aduan rasuah terhadap menteri besar itu kepada BPR oleh Ahmad Lutfi.

Usul itu bagaimanapun ditolak dan Teng diperintahkan keluar dewan selepas berlaku kekecohan mengenai penolakan usul berkenaan.

Kesemua enam ahli DUN dari pembangkang turut meninggalkan dewan itu sebagai membantah keputusan berkenaan. Mereka kemudiannya membuat sidang akhbar bersama Ahmad Lutfi di luar dewan.

Ditangkap polis

Sebelum ini, Ahmad Lutfi ditangkap kira-kira jam 5 petang semalam atas dakwaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Seksyen berkenaan membabitkan kesalahan tidak menulis nama penerbit dan pencetak pada bahan yang diterbitkan, dan jika sabit kesalahan, boleh hukum penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebih RM 5,000.

Beliau ditahan di Balai Polis Seksyen 11 Shah Alam dan kemudiannya dibebaskan kira-kira jam 10 malam dengan jaminan polis.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supt. Zulkapli Ahmad, aktivis media itu ditangkap semasa berada di sebuah kilang pencetak di Seksyen 16, Shah Alam. Polis turut merampas kira-kira 20 ribu naskah akhbar tabloid Memo14 kerana diterbitkan tanpa permit.

Bertujuan politik

Sementara itu Ahmad Lutfi memberitahu malaysiakini, beliau mengesyaki tangkapan dan rampasan akhbar terbitannya itu dibuat atas tujuan politik dan ada kaitan dengan aduan rasuah yang dibuat kepada BPR.

"Dalam rampasan biasa, pihak berkuasa tidak merampas semua akhbar tetapi kali ini seluruh akhbar itu iaitu hampir 30 ribu naskah dirampas. Ia seolah-olah lebih kepada cuba menghalang edaran akhbar itu," katanya.

Akhbar Memo14 terbitan untuk 30 Oktober 2001 itu membawa tajuk 'Letak jawatan sebelum raya?' sebagai berita utama dan menyiarkan laporan eksklusif mengenai dakwaan rasuah terhadap Mohd Khir.

Akhbar tersebut juga menyiarkan beberapa wawancara khas dengan ahli DUN dari parti pembangkang berkaitan isu rasuah itu dan isi laporan penuh laporan Ahmad Lutfi kepada BPR.

Beliau berkata akhbar itu sepatutnya berada di pasaran hari ini dan akibat rampasan itu beliau mengalami kerugian hampir RM100 ribu.