Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengulangi bahawa kerajaan mempunyai peruntukan kewangan untuk melaksanakan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) yang akan mula digerakkan bulan depan.

Beliau juga sekali lagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan tidak ada kemampuan untuk menjayakan rancangan tersebut.

"Kalau kita tidak ada duit takkan kita buat perancangan dan bentangkan di Parlimen.

"Ini bukan janji kosong...kerajaan tidak akan berbohong pada rakyat kerana pembohongan tidak akan membawa kita ke mana-mana," katanya.

Berucap di Malam Anugerah Usahawan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia 2006, di Kuala Lumpur malam tadi, Abdullah berkata kerajaan sedar jika janji-janji itu tidak dipenuhi, ia tidak akan mendapat sokongan rakyat.

Menurut Bernama, berikutan itu, Perdana Menteri meminta masyarakat usahawan bumiputera supay amenjadi tenaga yang kuat dan berkesan untuk menjayakan cita-cita kerajaan itu.

Teknokrat Melayu

Katanya, ketika ini usahawan dan peniaga Melayu telahpun berada pada kedudukan yang lebih baik berbanding ketika Dasar Ekonomi Baru mula dilancarkan.

Ini juga dikuatkan dengan kemunculan lebih ramai golongan saintis dan teknokrat bumiputera dan jika digabungkan dengan golongan usahawan dapat memberikan kekuatan kepada negara, katanya.

"Ini akan menjadi tenaga yang membolehkan kita membuat anjakan yang lebih besar ke depan," katanya.

Bagaimanapun Abdullah berkata golongan usahawan bumiputera perlu bersedia menghadapi cabaran dunia global dan liberalisasi untuk membolehkan mereka bersaing di arena antarabangsa.

"Di peringkat sana tidak ada keistimewaan bumiputera...yang ada hanyalah cabaran sama yang perlu dihadapi oleh bumiputera dan bukan bumiputera," katanya.